Archive for Tarbiyyah Ikhwan

Bacaan Awal untuk Memahami Siapa Erdogan dalam PAS!

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , on February 2, 2009 by maharajazhou

Berikut adalah tulisan penulis terhadap kemelut JIM/IRC/Alami di dalam PAS yang mencetuskan polemik Erdogan-Muqabalah yang hangat diperkatakan hari ini.

Tulisan-tulisan ini dihasilkan penulis sejak tahun 2005 lagi tentang perancangan mereka menyahkan golongan ulama’ tua/kampung dari kepimpinan PAS.

Sebelum ini,mereka melobi Nasharuddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden.Apabila Nasha tidak dapat digunakan sebagai pengimbal malahan bersama dengan kumpulan Muqabalah,grand design puak-puak Erdogan yang tulang belakangnya dari Tarbiyyah IRC pun bermula dengan polemik Erdogan dalam PAS seperti yang kita tahu hari ini.

Penulis mengucapkan syabas kepada Keris Pusaka Melayu dan Ustaz Moden kerana mengumpul artikel-artikel ini sebagai koleksi.

Oleh itu,elok juga bagi mereka yang ingin berjinak dengan topik ini membaca 3 artikel penulis yang memberi sedikit sebanyak tasawur asas kepada isu ini:

Jamaah Wars-Revenge of The JIM: Dendam IRC Terbalas Dengan Kemenangan Nasha!

Cakap ulamak sudah tidak laku. Kemenangan Nasharuddin Mat Isa dengan undi tertinggi sebanyak 536 undi membuktikan usaha-usaha “desperate” Dewan Ulamak untuk mempertahankan Hassan Syukri gagal. Kekalahan Hassan Syukri menandakan bahawa JIM dengan selimut professional telah berjaya melitupi Taman Melewar secara pasti.

Kecundangnya Hassan Syukri disambut dengan kegembiraan oleh perwakilan PAS tanpa menyedari bahawa mereka telah mengabaikan kata-kata Majlis Ulamak yang bagaikan Majlis Jedi di dalam Star Wars. Majlis Ulamak yang selama ini menjadi pelindung kepada PAS sudah tidak diambil peduli. Malahan dalam Muktamar PAS ini, mereka dianggap sebagai penghalang dan “pengkhianat” kepada parti.Sedangkan, merekalah penjaga yang melindungi dasar dan kestabilan parti selama ini.Kekalahan Hassan Syukri kepada Nasharuddin umpama pemecatan Chancellor Vallorum kepada Palpatine dalam episod Star Wars yang pertama.

Dr. Harun Taib boleh dianggap seperti Mace Windu di dalam PAS. Lagaknya kasar, gopoh tetapi mempunyai pengaruh yang besar di dalam Majlis Ulamak/Jedi.Sifatnya itu membolehkannya tidak segan silu mencantas mana-mana unsur Sith/JIM di dalam PAS yang memang dibenci beliau kerana memang dari azali golongan JIM/Siths sudah lama berazam untuk memecahbelahkan atau menguasai parti/republik.

Nyatalah, arus “perubahan” untuk memberikan kuasa kepada golongan Sith/JIM terlalu kuat. Hayunan “light saber” Harun Taib terlalu lemah jika dibandingkan dengan kejutan elektrik puak JIM/Sith di dalam PAS yang telah banyak menyapu kerusi termasuk Naib Presiden dan AJK tertinggi PAS Pusat.

Pemilihan kali ini, seolah-olah menunjukkan Perang Jamaah telah hampir sampai ke penghujungnya. Gerakan IRC/JIM telah dihancur lumatkan oleh PAS di kampus dan di pusat pada tahun 1980-an dan awal 1990-an. Kebanyakan Sith Lord/JIM samada terpaksa bertaqiyyah/berbohong di dalam PAS ataupun menyertai platform baru mereka iaitu JIM. Sejak itu, mereka telah merancang suatu grand design untuk menguasai PAS/Republik secara diam-diam dan teratur.

Usrah-usrah mereka dimandomkan di kampus kerana Jedi/PAS terlalu kuat di kampus.Kadang-kadang sampai tinggal hanya dua orang dalam usrah iaitu Master/Naqib dan Apprentice/Anak Usrah. Tetapi, di peringkat graduate dan pimpinan PAS yang berpengaruh, gerakan mencuri dan menukarkan mereka ke Darkside/JIM sangat aktif dilakukan. Antara yang berhasil ditukar termasuklah Dr. Hamirdin Ithnin dan juga Syed Azman.

Dengan kemenangan Nasharuddin, Husam, Mujahid Yusof Rawa, Ir. Amiruddin, dan Dr. Lo’Lo’ ini bermakna JIM/Sith di dalam PAS semakin berkuasa.Dendam IRC/JIM yang terpendam sejak tahun 1980-an akhirnya akan terbalas, Empayar JIM akan berjaya dibina akhirnya seperti yang dirancangkan sejak dari awal tahun 1980-an lagi.

Persoalannya, adakah generasi PAS di kampus akan bersama dengan Majlis Jedi/Ulamak? Ataupun mereka akan bersama dengan Siths/JIM kerana tertarik dengan kebolehan-kebolehan golongan professional yang dianggap luar biasa berbanding dengan kemampuan yang dimiliki puak ulamak?

Ataupun mereka tidak lebih dari tentera klon yang sebenarnya dihasilkan dari tarbiyyah berasal-usulkan IRC? Tentera klon tidak dapat berfikir kerana mereka hanya tahu akan taat setia dan tidak peduli siapa yang memerintah biarpun terpaksa membunuh Jedi/Ulamak yang berjasa.

Sama-sama kita tunggu, samada akan hancurkah Majlis Jedi/Ulamak PAS menjelang Muktamar PAS 2007!

Kemenangan Nasharuddin, Kemenangan JIM

 

Dalam artikel yang lepas, penulis lebih banyak menumpukan coretan terhadap tindak-tanduk dua anak kesayangan TG Nik Aziz Nik Mat. Begitu juga tentang siapa sebenarnya bergelar “professional” yang bakal menggugat barisan kepimpinan “lama” PAS. Sukar untuk dibayangkan bahawa sebuah parti yang besar bakal ditelan oleh sebuah pertubuhan yang kecil.

Mungkin juga orang JIM akan merujuk perkara ini seperti yang terkandung di dalam al-Quran yang maksudnya lebih kurang, “Tidakkah mereka melihat, berapa banyak kelompok yang kecil bisa menewaskan kelompok yang ramai”.

Begitu jugalah sama tempelakan orang Yahudi terhadap orang Arab, apabila mereka menewaskan gabungan tentera Arab pelbagai negara pada tahun 1948.

Namun, taktik menyusup dan kemudiannya mengambil alih sesuatu organisasi terang dan nyata bukanlah dari ajaran Islam.Sebaliknya, hanya Yahudi dan Freemason sahaja yang suka dengan taktik tersebut. Menyusup dan merosakkan atau menguasai organisasi itu dari dalam adalah kegemaran dan amalan kaum yang dilaknat Allah itu.

PAS menghadapi gelombang ini di mana ia berpunca dari kesilapan ulamak-ulamak PAS sendiri. Ulamak PAS hanya memberi keekslusifan kepimpinan itu terhadap mereka tanpa ilmu yang cukup. Mereka meletakkan diri mereka seperti mana Pope di Rom dan Dalai Lama kepada Buddha Nepal. Namun, ilmu yang cukup untuk memerintah dan dengan hikmah tidak wujud di kalangan ulamak PAS.

Sebagai pembangkang, menjadi pemidato dan pengkritik sudah cukup. Tetapi, nyatalah mereka gagal apabila diberi tugas untuk meemerintah. Tidak ada bezanya mereka dengan yang dikritik apabila mereka berkuasa. Lalu, golongan “muda” lebih senang mengasosiasikan diri mereka dengan sang professional.

Golongan muda ini juga terdiri daripada golongan “ulamak” ataupun aliran ugama. Bezanya, mereka pernah mengikuti tarbiyyah Ikhwanul Muslimin dan biasa berorganisasi di kampus. Dengan latihan sebegini, mereka berasa mereka lebih tersusun gerakan dan lebih professional sifat mereka walaupun pengajian mereka tidak ada badan akredisasi untuk menjadikan mereka professional seperti yang selalu mereka liurkan.

Dalam dunia luar, tiada apa yang hendak digahkan antara profesional dan tidak professional. Dalam UMNO, semua diberi peluang yang sama, atas quwwah ataupun kekuatan masing-masing. Tiada segregasi di antara orang agama ataupun sastera ataupun perubatan. Tetapi, di dalam PAS, kasta sengaja diwujudkan walaupun bukan dari ajaran Islam. Hanya ulamak mampu memerintah walaupun dirinya hanya belajar B.A. sedangkan pencabarnya mempunyai PHD dalam Business Administration dan berpengalaman sebagai pegawai tadbir diplomatik (PTD).

Dengan mengambil kira sentimen “orang biasa” dalam PAS,golongan JIM dalam PAS mengapi-apikan kebencian tersebut. Ditambah pula dengan rasa besar hati golongan pro-professional untuk menumpang tuah professional ini. Nasharuddin Mat Isa adalah salah seorang daripada mereka ini.

Nasharuddin Mat Isa merupakan mereka yang mengikuti tarbiyyah PAS dan sering dijemput oleh mahasiswa PAS di kampus untuk berceramah di dalam program-program rasmi dan haram mereka. Di Hull University, UK, beliau aktif mengHIZBIkan pelajar-pelajar Malaysia dan sekembalinya dari sana, beliau juga aktif membantu IPU dan MAMPU bagi menguasai politik kampus UKM.

Dengan latarbelakang ini, nyatalah Nasharuddin lebih senang bersama dengan JIM professional dalam PAS. JIM dalam PAS mempunyai organiasi dan rangkaian yang kukuh. Media Harakah juga telah dikuasai mereka. Pengunduran Dr. Haron Din bermakna suatu ruang vakum telah terbina.

JIM dalam PAS tidak boleh mengharapkan Ustaz Halim Abd Rahman. Apatah lagi Ustaz Hassan Syukri yang sudah lama berdendam dengan golongan ini yang bertanggungjawab mem”blacklist”kan beliau dari Harakah. Media internet seperti Marhaen dan Tranungkite juga nampaknya mula mempromosikan “kehebatan” Nasharuddin. Penulis itu pula nampaknya seperti dari kalangan “anak muda” yang “professional”.

Kemunculan mendadak Nasharuddin Mat Isa nyatalah mempunyai satu agenda. Agenda siapa, kebanyakan perwakilan PAS tidak mengetahui. Tetapi, penganalisa politik PAS sudah pasti mengetahui “phantom menace” yang berlaku di dalam pemilihan PAS kali ini.

Suka atau tidak, waktu bagi JIM untuk menguasai PAS sudah hampir tiba. Jika Nasharuddin kalah kali ini, beliau masih ada harapan untuk pewakilan yang akan datang. Apapun, Nasharuddin hanyalah bidak sahaja dalam permainan ini,kerana sang raja bermata satu masih bersembunyi di belakang tabir.

Kupasan Eksklusif : Anak-anak Nik Aziz Jadi Proksi JIM – PAS Dalam Bahaya?

 

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah dianugerahkan oleh Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai Tokoh Kepimpinan dalam suatu program yang dinamakan sebagai Kembara Keluarga Nasional Ke-4. Begitu signifikan sekali anugerah ini diberikan kepada TG Nik Aziz, menunjukkan betapa TG Nik Aziz telah menjadi semacam bapa angkat kepada pertubuhan tersebut.

JIM mengaku sebagai non-partisan dan tidak politikal sama seperti ABIM, pesaing terdekat mereka sejak zaman azali. Mereka bebas masuk dan keluar dalam akhbar samada mainstream ataupun pembangkang atas tiket tersebut. Pemimpin UMNO bukanlah pakar gerakan, oleh itu, kenyataan “kami neutral” mungkin sudah mampu mengelabui mata mereka.

Sekarang ini, sokongan JIM semakin tertumpu kepada PAS, setelah Partai Keadilan Rakyat semakin diresapi oleh unsur-unsur sosialis yang didalangi oleh faksi PRM. Ini ditambah pula oleh tindakan getik Anwar Ibrahim yang bergentayangan di keliling Yahudi Amerika. Merasakan kegelenyaran Anwar dan juga persekitaran PKR yang tidak kondusif, JIM lebih senang memunculkan diri mereka di dalam harakah dan menyatakan sokongan mereka kepada PAS walaupun agen-agen mereka di dalam Keadilan masih lagi aktif dan berpengaruh.

Bukti-bukti penguasaan JIM ke atas Harakah memang jelas. Ketua Muslimat JIM, Dr. Harlina Siraj lebih banyak keluar di dalam akhbar Harakah berbanding Ketua Dewan Muslimat PAS. Malahan, orang tidak mengenali mana-mana AJK Dewan Muslimat PAS, tetapi mereka lebih kenal dengan Ketua Muslimat JIM yang tiada kaitan dengan PAS walau sezarah pun.

Begitu juga pernah diberitakan bahawa wujud golongan JIM di dalam PAS. Memetik sumber berkenaan, antaranya ialah “golongan professional” dalam PAS. Mereka adalah Dr. Hatta Ramli, Dr. Abdul Wahab Ismail, Dr. Zulkefli Ahmad, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Wan Hasrina Wan Hassan. Malahan, Husam Musa dan Syed Azman Syed Mohammed boleh dikatakan pernah mengikuti latihan yang sama dengan golongan ini, cuma sejauh mana mereka telah di “JIM”kan, tidak dapat dipastikan.

Kenaikan mendadak golongan ini di seluruh negara menandakan bermulanya era penguasaan golongan professional JIM di dalam PAS menggantikan ustaz-ustaz kampung yang tidak pernah ditarbiyyah oleh tarbiyyah Ikhwanul Muslimin. Golongan tua ini diwakili oleh Haji Hassan Syukri, Subky Latif, Haji Azizan Razak dan Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Dua nama yang terakhir ini merupakan tokoh yang paling berjasa kepada golongan JIM professional sebelum ini sebagai tempat berpaut. Tetapi akhirnya, sekarang mereka akan bakal dicantas oleh golongan yang dahulunya mereka naungi kerana dianggap tidak relevan dengan tuntutan politik semasa. Boleh diibaratkan seperti dahan yang reput yang hanya tunggu untuk dicantas.

Dalam menghadapi benteng yang kuat dari golongan ustaz yang tidak ditarbiyyah ini, mereka terpaksa mencari pautan yang lebih kuat setelah berkonspirasi untuk mencantas pautan lama mereka. Dan mereka telah membuat satu pilihan yang bijak, iaitu dengan memilih TG Nik Aziz. TG Hadi Awang tidak dipilih puak-puak ini kerana beliau amat keras terhadap mereka walaupun isteri muda beliau juga diberitakan mengikuti tarbiyyah JIM. Dengan ini, adalah lebih bijak mendapatkan naungan TG Nik Aziz kerana selain tidak pernah mengikuti tarbiyyah Ikhwan dan kurang faham akan konsep kepelbagaian jemaah, TG Nik Aziz juga mempunyai imej yang lebih bersih di hadapan mata rakyat marhain jika dibandingkan dengan TG Hadi Awang.

Golongan JIM professional mempunyai akses yang baik kepada TG Nik Aziz melalui Husam Musa. Oleh itu, tidak hairanlah TG Nik Aziz dengan mudah mencalonkan Dr. Siti Mariah Mahmud sebagai calon Naib Presiden. Pengumuman Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS, disambut dengan gegak gempita di Harakah dan penuh dengan rasa takjub dan megah. Ini merupakan petanda awal yang menunjukkan TG Nik Aziz semakin rapat dan semakin dikelabui oleh golongan JIM professional dalam PAS.

Pengumuman tersebut hanyalah yang pertama. Dengan perisytiharan tersebut, secara taktikalnya “Khadam PAS” telah dirasuki oleh JIM. Ini disahkan pula oleh anugerah yang diterima oleh TG Nik Aziz dari JIM pada program Kembara Keluarga Nasional Ke-4. Yang menariknya, penganugerah tersebut tidak lain dan tidak bukan dari anak-anak Tuan guru sendiri, iaitu Nik Abduh dan Nik Amalina.(Misalnya Nik Abduh Nik Abdul Aziz, semasa menuntut di Mesir, dianggap ‘musuh’ jemaah PAS (PMRAM) kerana beliau bergiat aktif dalam JIM yang lebih dikenali di sana sebagai ‘persatuan Alami’). Kalau Nik Abduh berasal daripada tarbiyah JIM maka kita dapat memahami tarbiyah mana yang telah diikuti oleh seorang lagi anak TG Nik Aziz, iaitu Nik Amalina semasa di kampus.

Sejarah membuktikan bahawa jarang ada anak pimpinan PAS yang mengikut tarbiyyah PAS ala Wan Norhayati di kampus. Mungkin mereka sedar bahawa “tarbiyyah” seumpama itu hanyalah untuk orang yang bodoh sahaja dan barangkali pimpinan PAS sendiri pun sudah berpesan kepada anak-anak mereka supaya menjauhi aktiviti seumpama itu. Dan sejarah juga telah membuktikan bahawa ada anak pimpinan PAS yang masuk dalam jemaah yang lain. Contohnya seperti Mujahid Yusof Rawa, juga menyertai Alami di Mesir.

Tetapi, tidak seperti rakan PMRAM beliau, Mujahid nyata lebih bijak untuk naik di dalam PAS dengan rangkaian JIM professional dalam partai tersebut, walhal rakan-rakannya masih terkontang-kanting mencari tapak. Nyatalah orang yang dahulunya bermati-matian untuk jamaah dilupakan, dan orang yang dahulu menentang jamaah mendapat laba dan habuan.

Perkara ini juga sedang berlaku dalam keluarga TG Nik Aziz. Mungkin tuan guru tidak sedar akan bala yang akan menanti PAS. Paling berbahaya sekali, kepungan dari JIM datang bukan sahaja di atas nama “anak muda yang professional” tetapi juga datang dari dalam rumah tuan guru sendiri.

Pendokong PAS perlu sedar bahawa PAS akan di”JIM”kan,maka jangan terlalu berseronok dengan tewasnya orang lama menjelang Muktamar PAS nanti,seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.