Anak-anak Nik Aziz Jadi Proksi JIM – PAS Dalam Bahaya?

Mei 205

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah dianugerahkan oleh Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai Tokoh Kepimpinan dalam suatu program yang dinamakan sebagai Kembara Keluarga Nasional Ke-4. Begitu signifikan sekali anugerah ini diberikan kepada TG Nik Aziz, menunjukkan betapa TG Nik Aziz telah menjadi semacam bapa angkat kepada pertubuhan tersebut. nik_aziz

-Nik Aziz tidak biasa ditarbiyyah oleh tarbiyyah Ikhwan.Oleh itu, Tuan Guru ini tidak bisa mengenali kepelbagaian jemaah. Dengan itu, beliau mudah dibutakan oleh golongan JIM dalam PAS untuk naik di dalam Partai Islam itu-

JIM mengaku sebagai non-partisan dan tidak politikal sama seperti ABIM, pesaing terdekat mereka sejak zaman azali. Mereka bebas masuk dan keluar dalam akhbar samada mainstream ataupun pembangkang atas tiket tersebut. Pemimpin UMNO bukanlah pakar gerakan, oleh itu, kenyataan “kami neutral” mungkin sudah mampu mengelabui mata mereka.

Sekarang ini, sokongan JIM semakin tertumpu kepada PAS, setelah Partai Keadilan Rakyat semakin diresapi oleh unsur-unsur sosialis yang didalangi oleh faksi PRM. Ini ditambah pula oleh tindakan getik Anwar Ibrahim yang bergentayangan di keliling Yahudi Amerika. Merasakan kegelenyaran Anwar dan juga persekitaran PKR yang tidak kondusif, JIM lebih senang memunculkan diri mereka di dalam harakah dan menyatakan sokongan mereka kepada PAS walaupun agen-agen mereka di dalam Keadilan masih lagi aktif dan berpengaruh.

Bukti-bukti penguasaan JIM ke atas Harakah memang jelas. Ketua Muslimat JIM, Dr. Harlina Siraj lebih banyak keluar di dalam akhbar Harakah berbanding Ketua Dewan Muslimat PAS. Malahan, orang tidak mengenali mana-mana AJK Dewan Muslimat PAS, tetapi mereka lebih kenal dengan Ketua Muslimat JIM yang tiada kaitan dengan PAS walau sezarah pun.

Begitu juga pernah diberitakan bahawa wujud golongan JIM di dalam PAS. Memetik sumber berkenaan, antaranya ialah “golongan professional” dalam PAS. Mereka adalah Dr. Hatta Ramli, Dr. Abdul Wahab Ismail, Dr. Zulkefli Ahmad, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Wan Hasrina Wan Hassan. Malahan, Husam Musa dan Syed Azman Syed Mohammed boleh dikatakan pernah mengikuti latihan yang sama dengan golongan ini, cuma sejauh mana mereka telah di “JIM”kan, tidak dapat dipastikan.

Kenaikan mendadak golongan ini di seluruh negara menandakan bermulanya era penguasaan golongan professional JIM di dalam PAS menggantikan ustaz-ustaz kampung yang tidak pernah ditarbiyyah oleh tarbiyyah Ikhwanul Muslimin. Golongan tua ini diwakili oleh Haji Hassan Syukri, Subky Latif, Haji Azizan Razak dan Daeng Sanusi Daeng Mariok.

Dua nama yang terakhir ini merupakan tokoh yang paling berjasa kepada golongan JIM professional sebelum ini sebagai tempat berpaut. Tetapi akhirnya, sekarang mereka akan bakal dicantas oleh golongan yang dahulunya mereka naungi kerana dianggap tidak relevan dengan tuntutan politik semasa. Boleh diibaratkan seperti dahan yang reput yang hanya tunggu untuk dicantas.

Dalam menghadapi benteng yang kuat dari golongan ustaz yang tidak ditarbiyyah ini, mereka terpaksa mencari pautan yang lebih kuat setelah berkonspirasi untuk mencantas pautan lama mereka. Dan mereka telah membuat satu pilihan yang bijak, iaitu dengan memilih TG Nik Aziz. TG Hadi Awang tidak dipilih puak-puak ini kerana beliau amat keras terhadap mereka walaupun isteri muda beliau juga diberitakan mengikuti tarbiyyah JIM. Dengan ini, adalah lebih bijak mendapatkan naungan TG Nik Aziz kerana selain tidak pernah mengikuti tarbiyyah Ikhwan dan kurang faham akan konsep kepelbagaian jemaah, TG Nik Aziz juga mempunyai imej yang lebih bersih di hadapan mata rakyat marhain jika dibandingkan dengan TG Hadi Awang.

Golongan JIM professional mempunyai akses yang baik kepada TG Nik Aziz melalui Husam Musa. Oleh itu, tidak hairanlah TG Nik Aziz dengan mudah mencalonkan Dr. Siti Mariah Mahmud sebagai calon Naib Presiden. Pengumuman Siti Mariah sebagai calon Naib Presiden PAS, disambut dengan gegak gempita di Harakah dan penuh dengan rasa takjub dan megah. Ini merupakan petanda awal yang menunjukkan TG Nik Aziz semakin rapat dan semakin dikelabui oleh golongan JIM professional dalam PAS.

Pengumuman tersebut hanyalah yang pertama. Dengan perisytiharan tersebut, secara taktikalnya “Khadam PAS” telah dirasuki oleh JIM. Ini disahkan pula oleh anugerah yang diterima oleh TG Nik Aziz dari JIM pada program Kembara Keluarga Nasional Ke-4. Yang menariknya, penganugerah tersebut tidak lain dan tidak bukan dari anak-anak Tuan guru sendiri, iaitu Nik Abduh dan Nik Amalina.(Misalnya Nik Abduh Nik Abdul Aziz, semasa menuntut di Mesir, dianggap ‘musuh’ jemaah PAS (PMRAM) kerana beliau bergiat aktif dalam JIM yang lebih dikenali di sana sebagai ‘persatuan Alami’). Kalau Nik Abduh berasal daripada tarbiyah JIM maka kita dapat memahami tarbiyah mana yang telah diikuti oleh seorang lagi anak TG Nik Aziz, iaitu Nik Amalina semasa di kampus.

Sejarah membuktikan bahawa jarang ada anak pimpinan PAS yang mengikut tarbiyyah PAS ala Wan Norhayati di kampus. Mungkin mereka sedar bahawa “tarbiyyah” seumpama itu hanyalah untuk orang yang bodoh sahaja dan barangkali pimpinan PAS sendiri pun sudah berpesan kepada anak-anak mereka supaya menjauhi aktiviti seumpama itu. Dan sejarah juga telah membuktikan bahawa ada anak pimpinan PAS yang masuk dalam jemaah yang lain. Contohnya seperti Mujahid Yusof Rawa, juga menyertai Alami di Mesir.

Tetapi, tidak seperti rakan PMRAM beliau, Mujahid nyata lebih bijak untuk naik di dalam PAS dengan rangkaian JIM professional dalam partai tersebut, walhal rakan-rakannya masih terkontang-kanting mencari tapak. Nyatalah orang yang dahulunya bermati-matian untuk jamaah dilupakan, dan orang yang dahulu menentang jamaah mendapat laba dan habuan.

Perkara ini juga sedang berlaku dalam keluarga TG Nik Aziz. Mungkin tuan guru tidak sedar akan bala yang akan menanti PAS. Paling berbahaya sekali, kepungan dari JIM datang bukan sahaja di atas nama “anak muda yang professional” tetapi juga datang dari dalam rumah tuan guru sendiri.

Pendokong PAS perlu sedar bahawa PAS akan di”JIM”kan,maka jangan terlalu berseronok dengan tewasnya orang lama menjelang Muktamar PAS nanti,seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: