Benarkah mahasiswa PAS(PMIUM) pro-keadilan dan telus?

30 Jun 2004
 
Seringkali mereka yang memakai jubah anti establishment berkompang bahawa mereka penentang kezaliman dan ketidak telusan. Disebabkan itu jugalah, golongan yang sama berani mendakwa bahawa merekalah golongan yang idealis seumpama golongan enlightenment yang menghidupkan Revolusi Perancis.
 
Mengasosiasikan diri dengan slogan menentang kezaliman dan kebejatan sosial menjadi tema utama mahasiswa pro-PAS. Sekonyong-konyong,dikatakan bahawa mereka bukan pro-PAS tetapi mahasiswa yang menentang ketidakadilan. Benar sekali, ada yang diperjuangkan oleh parti pembangkang adalah isu-isu untuk mempertahankan keadilan. Tidak salah menyokong keadilan, namun janganlah sokongan itu selektif yang hanya disuarakan oleh parti pembangkang tertentu sahaja.
 
Cuba lihat contoh yang mikro, tatkala juak-juak PMI menguasai surau-surau kolej. Jika ada pelajar akademi Islam yang warak dan alim serta sering menjadi Imam tetapi oleh kerana memiliki fikrah yang berlainan, jangan haraplah dia akan memasuki senarai untuk tinggal di kolej. Maka, di sini alasan yang diberikan adalah kita berkuasa dan kita berhak menentukan siapa yang patut kita masukkan di dalam senarai. Begitu jugalah nasib mereka yang tidak habis usrah dengan PMI, walaupun dialah yang pertama turun untuk waktu subuh, anak usrah yang tidak pernah turun surau juga yang terlekat namanya.
 
Jangan haraplah juga, mereka yang bukan PMI untuk memegang jawatan yang tinggi dalam ekspo konvokesyen. Jika ada exco yang bukan ahli, keputusan mereka senang sekali divetokan oleh orang PMI atas nama arahan pihak tertinggi yakni MPP.
 
Ketidaktelusan ini sudah lama berlaku dan bersarang. Namun, semuanya dilupakan kerana menentang “kezaliman yang lebih besar”. Tidak apa jika ada diskriminasi dalam jawatan dan pemerintahan di dalam MPP asalkan mereka lantang menentang kerajaan yang memerintah.
aw
-A&W dibenarkan untuk membuka warung mereka semasa EKSKUM hanya kerana sahamnya dimiliki oleh kerajaan PAS Terengganu walhal PAS dan PMI beria-ia memboikot restoran makanan segera yang lain seperti KFC dan McDonalds-
Double standard ini semakin tampak apabila mereka ini kononnya memboikot barangan Amerika untuk membela saudara seugama di Iraq. Tetapi, di masa yang sama suatu ketika dahulu, kiosk A&W yang bercogankatakan ALL AMERICAN FOOD berleluasa di ekspo konvokesyen.
 
Kenapa wujud double standard ini? Kenapa A&W halal tetapi McDonalds dan KFC haram? Kerana saham A&W dimiliki oleh arwah Kerajaan PAS Terengganu. Jika dimiliki oleh PAS maka halallah segala-galanya, walaupun ia terang-terang bertentangan dengan prinsip. PAS lebih penting dari umat Islam Iraq.
 
Itu hanyalah sekelumit contoh yang ada untuk menggambarkan bahawa mahasiswa yang mendakwa diri mereka pro-Islam bukanlah sebenarnya seperti apa yang mereka dakwa. Mereka sebenarnya adalah mahasiswa pro-PAS. Tidak kurang pro-Islamnya mahasiswa UMNO, Keadilan, JIM, ABIM ataupun Tabligh.
 
Malahan, jika kita putarkan jam kita ke belakang pada tahun 1995, mahasiswa jemaah lain terutamanya ABIM pun pernah dianggap sebagai mahasiswa Uptown, mahasiswa Modestos ataupun mahasiswa Hard Rock Cafe yang sekular,yang gelojoh menerima laba dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim oleh mahasiswa PAS. Mungkin juga, mahasiswa Islamis ketika itu tidak cukup kuat untuk menarik mahasiswa pro-ABIM daripada bersetongkol dengan “mereka yang kurang Islam” dan Kafir ketika itu.
 
Tidak wujud istilah dzimmi atau harbi ketika itu. Semua itu haram belaka kerana yang melakukannya mahasiswa Pro-ABIM. Diwarwarkan zalim bersama dengan mahasiswa Pro-ABIM yang telah mengangkat orang Kafir sebagai wali (pembantu). Namun begitu, halal pula hukumnya selepas tahalluf siyasi walaupun jelas mereka bersama dengan mahasiswa pro-DAP yang berimamkan Karpal Singh. Pandai pula mereka mencari ayat menghalalkan perbuatan mereka seolah-olah ayat yang sama belum diwahyukan sewaktu mahasiswa pro-ABIM bekerjasama dengan mahasiswa yang bukan Islam.
 
Pengajarannya ialah ketelusan bukanlah pada kata-kata tetapi pada tindakan.Dengan itu, mahasiswa dapat menilai samada mereka ini mahasiswa-mahasiswa ahli PAS yang totok dengan presiden mereka seperti ketua cawangan Pas kampus ataupun mereka penyokong ketelusan dan keadilan yang sejati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: