Laman Web dan Blog: Penentu Hidup Gerakan Mahasiswa Hujung Dekad 2000

Penulis baru sahaja melawat pelbagai laman-laman politik mahasiswa. Buat masa sekarang, boleh dianggap suasana agak dingin dan tiada isu-isu yang hangat diperkatakan. Mungkin juga tumpuan diberikan kepada politik semasa ataupun hal ehwal semasa. Isu banjir masih lagi isu tumpuan di peringkat nasional, mengatasi isu-isu lain. Malahan, pilihanraya Batu Talam juga diwarnai dengan isu banjir.
Politik mahasiswa sifatnya bermusim. Namun, wujudnya laman web-laman web mahasiswa seperti Idealis Mahasiswa dan Kampusnegara menghidupkan suasana politik mahasiswa. Dahulu, gerakan mahasiswa bersifat “ground” ataupun turun ke lapangan. Maksudnya, gerakan mahasiswa diukur dari berapa aktif demonstrasi, edaran flyers dan handbill serta juga penyerahan memorandum.
Masa berubah. Barangkali mesyuarat dan perjumpaan dalaman samada PMI ataupun Aspirasi berlangsung (yang tentunya bersifat ground), tetapi tindakannya terserlah melalui laman web ataupun blog. Blog ataupun laman web telah menunjukkan kebahayaannya. 1999 merupakan saksi bahawa serangan kilat melalui internet telah menyesakkan pendokong-pendokong kerajaan.
Usaha meracuni rakyat dialihkan kepada senjata mudah alih ini yang tiada tapisan dan maklumatnya boleh disebar secara mudah. Hanya berbekalkan PC dan printer, geraksaraf boleh dilakukan dengan pantas. Boleh diibaratkan ia seperti pelancar roket anti pesawat yang murah tetapi berkesan dalam menjatuhkan pesawat-pesawat canggih kepunyaan musuh.
Kewujudan laman web pembangkang memberikan idea kepada penyokong kerajaan untuk membalas serangan melalui cara yang sama. Apabila matinya laman web seperti Mahafiraun dan Mahazalim, yang hidup hanyalah laman seperti tajaan PAS seperti Tranungkite dan organ rasmi PAS, Harakah. Yang lain tidak menerima sambutan atupun semakin kurang akibat masalah server, bandwidth tidak mencukupi dan pelbagai lagi. Ditambah pula dengan bilangan penulis maya yang semakin kurang dan tiada pula pengganti, menyebabkan webmaster terpaksa “menggulung” laman semudah menggulung tikar.
Untuk laman web mahasiswa, ketakutan itu ditambah apabila muncul laman web mahasiswa kerajaan yang tahan lasak seperti laman Idealis Mahasiswa. Serangan yang terus menusuk ke jantung dan urat saraf pemimpin mahasiswa membangkang tidak ubah seperti tembakan penembak tepat. Sudah berapa pemimpin mahasiswa pembangkang yang tumbang akibat serangan pena tajam penulis-penulis maya IM.
Mahasiswa pembangkang cuba bertahan dengan mewujudkan alternatif seperti Kampusnegara dan Mahasiswa UTM. Tetapi, ia sekadar menegakkan panji-panji sahaja. Biasanya, tulisan mahasiswa pembangkang lebih kepada tulisan-tulisan ala risalah usrah dan amanat. Berbeza dengan stail mahasiswa kerajaan yang lebih bersifat semasa, pendedahan dan juga sensasi.
Apatah lagi, mahasiswa pembangkang sangat bergantung kepada satu-satu figura. Jika ini zaman Haniff, maka Hanifflah yang menjadi ikon, jika Tarmizi yang menjadi ikon, maka Tarmizi yang menjadi ikon. Kewujudan ikon ini menyebabkan mahasiswa pembangkang menjadi obses dengan siapa pemimpin mereka, dan begitu kolokial dengan universiti mereka berada.
Dengan itu, laman web mereka akan banyak memuatkan isu dari sesuatu universiti sahaja, bukannya sejagat. Ini berlaku secara semulajadi kerana prekrutan penulis bersifat tempatan dan tidak global. Oleh itu, isu yang dipaparkan hanya menarik khalayak yang sedikit.
Pendekatan ini menyebabkan mahasiswa tetap mengunjungi laman Idealis mahasiswa atas dasar, ia menjadi pusat pengumpulan berita mahasiswa Malaysia di dalam dan luar negara. IM pula tidak segan menyiarkan berita milik “musuh” dan lebih telus dalam pemilihan artikel tidak seperti lawan mereka. Dengan ini, IM bersifat seperti Reuters atau AFP dalam mendapatkan informasi terkini politik mahasiswa.
Medan mahasiswa sudah berubah. Siapa yang lambat akan ketinggalan. Pejuang-pejuang gerakan mahasiswa bukan lagi bersembunyi di sebalik kain serban tetapi di sebalik papan kunci. Istilah merekrut mungkin tidak lagi terbatas cuma terhadap kader-kader, tetapi sekarang mungkin meluas kepada pelapis webmaster, penulis maya dan juga web manager.
Kegagalan menjaga tiga golongan ini juga mungkin petanda kepada tamatnya riwayat laman-laman web mahasiswa sepertimana Mahafiraun dan Mahazalim yang selamat berada di dalam lipatan sejarah laman web politik negara!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: