Parti Mahasiswa Negara:Antara Akademi Fantasia dan Raja Lawak

Akademi Fantasia tidak salah lagi merupakan rancangan hiburan realiti yang paling sukses di Malaysia. Kewujudan rancangan ini sebenarnya memberi peluang kepada anak-anak muda untuk menjadi artis segera. Bukan kualiti sebagai penghibur yang menjadi ukuran tetapi kepopularan ataupun undian SMS yang menjadi kayu ukur sebenar. Angan-angan untuk menjadi kaya sekaya Mawi menjadikan ia satu inspirasi bagi sesetengah golongan, dan ini menambahkan lagi motivasi bagi puak-puak ini untuk menyokong kehadiran rancangan seumpama ini.
Parti Mahasiswa Negara(PMN) pula adalah rentetan daripada gabungan SMM, Gamis serta BBMN dan mereka berusaha untuk menubuhkan suatu parti yang sah untuk membolehkan mereka bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Di dalam weblog mereka, seolah-olah kewujudan mereka adalah alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA). Bagi mereka, kesemua parti yang ada adalah umpama badut-badut sarkas yang tidak mempedulikan nasib rakyat.
Apa kaitan partai baru ini dengan Akademi Fantasia? Pertamanya, ia adalah ia adalah pertubuhan yang bergerak atas fantasi mereka semata-mata. Mereka menganggap bahawa undi rakyat seperti undi SMS peserta-peserta AF. Mudah ditabur dan boleh didapati dengan senang. Dan mereka memasang angan-angan bahawa untuk mendapatkan calon dan dana adalah lebih mudah dari mendapatkan calon bagi AF itu sendiri. Padahal, parti-parti yang lebih besar dan tua pun sukar untuk mendapatkan calon dan tidak kurang juga yang tercungap-cungap untuk mendapatkan wang pertaruhan.
Namun, penulis sebenarnya melihat idea penubuhan PMN ini adalah langkah yang “bijak” untuk jangka masa pendek ini terutamanya bagi pilhanraya kampus yang akan datang. Tetapi, penulis dapat menghidu bau hamis Gamis dan pakatannya untuk sekian kalinya sekali lagi.
Tujuan sebenar PMN ditubuhkan adalah atas 2 faktor utama:
1) Membuktikan bahawa pakatan-pakatan yang menubuhkan PMN terutamanya PMI bukanlah alat PAS
2) Mempopularkan gerakan PMI yang semakin hilang dinamisnya kebelakangan ini

raja_lawak

Penubuhan PMN bukannya berhasrat untuk membela nasib rakyat tetapi hanyalah sebagai publisiti murahan untuk menaikkan nama PMI yang semakin menjunam popularitinya. PMN perlu bertanding di Kelantan dan Terengganu untuk memastikan mereka bukan sekadar menjadi Raja Lawak semata-mata.Ini kerana potensi calon dan penyokong mereka sebenarnya berada di negeri-negeri berkenaan. PAS lawan mereka sebenarnya,bukannya UMNO untuk membolehkan suara mereka didengar di Parlimen dan DUN.

Membuktikan bahawa PMN bukanlah alat PAS

PMI makin terdesak dengan keadaan semasa, di mana calitan hubungan dan kaderisasi antara mereka dan PAS menjadikan diri mereka terasing dari mahasiswa. Mahasiswa takut untuk berhubung dengan PMI kerana bimbang mereka dikaitkan dengan imej PAS yang ekstrim. Kekalahan mereka sejak pertengahan dekad ini menandakan bahawa satu reformasi maha agung perlu dilakukan untuk membuang imej PAS daripada PMI, GAMIS dan BBMN.
Antara perkara yang diwarwarkan adalah kemasukan mantan Presiden PMI ke dalam UMNO. Ini merupakan suatu strategi yang dilaksanakan untuk mengelirukan mahasiswa. GAMIS, BBMN dan PMI sedar bahawa sukar untuk mereka bertanding di dalam pilihanraya ini, tetapi mereka menyedari taktik ini merupakan salah satu taktik yang wajar dan mungkin berkesan dalam membuang palitan najis PAS pada tubuh mereka.
Maka, syura Jemaah Islam Kampus memutuskan untuk mengizinkan juak-juak mereka terutamanya yang mengepalai PMI agar mendaftarkan partai baru ini demi kepentingan jamaah di masa hadapan. Jika pihak Aspirasi menuduh PMI berkait dengan PAS, maka bolehlah mereka katakan bahawa mereka juga menentang PAS yang dibuktikan dengan pendaftaran PMN. Ini disambut dengan anggukan dari PAS yang menyedari bahawa mereka tidak rugi dengan PMN kerana yakin PMN akan kalah teruk sampai hilang wang pertaruhan kerana tiada sokongan. Sehubungan itu juga, PMN akan dijadikan kambing tunggangan untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional.
Jika dilihat kepada kenyataan media PMN, kebanyakan protes mereka adalah kepada kerajaan BN yang memerintah dan tidak ada pendedahan kebobrokan PAS ataupun parti-parti pembangkang lain. Sepatutnya, jika PMN ikhlas, pendedahan kelembapan dan ketidakefisienan Kerajaan Kelantan sepatutnya diutamakan kerana biasanya kubu kuat PMI adalah di Akademi Islam. Akademi Islam terkenal dengan lebih separuh daripada mahasiswanya adalah mahasiswa Kelantan. Oleh itu, wajar kempen PMN ditumpukan di Kelantan, serta seterusnya Terengganu dan Kedah jika benar-benar PMN ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat. Puncanya terletak pada “peluang” mereka untuk menjadi wakil rakyat adalah lebih tinggi di negeri-negeri tersebut.
Maka, “badut” yang sepatutnya dilawan dan ditentang oleh PMN bukannya BN tetapi PAS. Badut besar inilah yang sepatutnya ditentang untuk memastikan suara mahasiswa bergema di Parlimen. Ini seharusnya dilakukan atas dasar lebih mudah calon yang akan diperolehi, lebih ramai mahasiswa Pantai Timur yang ada, dan faktor pecahnya undi calon PAS dan UMNO di kawasan tersebut. Faktor-faktor inilah yang patut dijadikan bahawa musuh PMN bukanlah UMNO tetapi PAS.Melainkanlah jika PMN hanyalah lawak jenaka GAMIS dan BBMN semata-mata untuk mengaburi mata mahasiswa terutamanya mahasiswa Universiti Malaya.

Mempopularkan gerakan PMI yang semakin hilang dinamisnya

PMI dan gerakan seumpama dengannya telah hilang dinamismenya. Mereka merindui zaman kegemilangan mereka sewaktu 80’an dan 90’an. Peristiwa Demonstrasi M Nasir, Tunjuk Perasaan Jalanan sempena Reformasi dan juga peristiwa pembakaran DTC masih menjadi mimpi manis mereka. Namun, selepas zaman Fuad Ikhwan, pemimpin PMI dan GAMIS menjadi kecut.
Mereka bimbang jika diteruskan usaha-usaha ini, rahsia mereka semakin terbongkar. Pemimpin PMI memang nampak gah, namun, “latihan” semasa tamrin tidak sama dengan soal siasat polis. Entah, berapa banyak maklumat rahsia PMI terdedah apabila satu persatu pemimpin PMI ditahan polis.
Oleh itu, PMI mengambil jalan hikmah iaitu untuk tidak lagi berdemonstrasi ala-ala Keadilan. Jalan hikmah ini juga diambil setelah menyedari mahasiswa secara massa menolak jalan huru-hara ini. Silent majority mahukan keamanan dan perkara diterjemahkan dalam siri-siri pilihanraya kampus yang lepas.
Maka, cara yang paling mudah untuk mendapatkan populariti yang makin menjunam adalah dengan cara melakukan perkara luar biasa dan tidak masuk dek akal. Salah satunya, adalah dengan menubuhkan parti politik. Suatu tindakan yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana pemimpin mahasiswa dari zaman azali. Sehebat-hebat Anwar pun tidak menubuhkan parti politik di zaman kemuncaknya. Maka, tindakan ini secara mudah dan murah menaikkan nama pimpinan mahasiswa PMI tahun 2007/08 di atas kertas.
Namun, matematik pimpinan PMI ini mungkin disambut paling kurang pun dengan gelengan jika tidak pun gelak ketawa berguling-guling oleh adik Adiputra. Ramai pimpinan mahasiswa yang tumpas di dalam pilihanraya walaupun menjadi calon parti yang kuat sokongan kewangan dan mesin kempennya. Mungkin nama Shamsuddin Momer, Nazri Din dan Ahmad Fazli Ramli boleh dijadikan rujukan oleh juak-juak PMN.
Penubuhan PMN juga boleh disimpulkan sebagai satu usaha juga oleh pihak PMI di Universiti Malaya untuk naik semula setelah mahkota mereka dirampas oleh mahasiswa PAS UIA. Dengan adanya PMN, maka mereka akan dipandang semula oleh pemimpin Pemuda PAS. Dengan ini, tahun-tahun memalukan PMI di Universiti Malaya dapat ditebus dengan harapan ‘ranking” mereka dalam jemaah-jemaah kampus kesayangan PAS dapat dinaikkan seperti dahulu.
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah ternyata penubuhan PMN hanyalah strategi peringkat rendah yang tidak bersangkut paut dengan kepentingan rakyat. Ia hanyalah strategi untuk kepentingan politik cetek beberapa kerat manusia di dalam PMI, GAMIS, BBMN dan penasihat-penasihat mereka di Universiti Malaya dan Pemuda PAS.
Oleh itu, angan-angan mereka untuk popular seperti Mawi di dalam kampus ataupun di luar tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana perkiraan politik mereka tidak lebih daripada lawak jenaka yang melayakkan pimpinan PMI, GAMIS, dan BBMN menjadi Raja Lawak pilihanraya umum kali ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: