Sejauh manakah UMANY pro-Islam??

4 Jul 2004
 
Kampus IPTA merupakan cerminan kepada masyarakat yang ada di Malaysia. Strukturnya hampir sama dengan ianya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang mana kaum Melayu bumiputera merupakan majoriti penentu kuasa. Namun, tanpa kaum bukan bumiputera, sokongan yang diberikan kepada parti pemerintah samada di kampus ataupun di luar bukanlah sokongan yang utuh.
 
Undi kaum bukan Melayu menjadi rebutan pihak-pihak yang bertandingi kampus. Walaupun begitu, sejarah turut membuktikan bahawa tanpa undi bukan Melayu, sesuatu parti juga boleh memerintah. Buktinya, pada sesi 1992/1993 dan sesi 1993/94, pihak NADI yang merupakan sayap politik PMIUM, telah berjaya menguasai kampus tanpa sokongan kaum bukan Melayu terutamanya kaum Cina. Tetapi, undi Melayu/Islam yang solid diperlukan oleh parti yang “tidak mahu” kepada undi bukan Melayu/Islam. Nampaknya mustahil tetapi benar. Suatu perkara yang sukar dibayangkan oleh generasi ahli politik kampus di UM mutakhir ini.
 
GMUM digambarkan seolah-olah seperti kerajaan BN yang memerintah di luar. Cukup komponennya dari pelbagai ras. Disebabkan itu, wujud seolah-olah penghalalan kepada terma pro-Islam kepada ahli sekutunya yang bukan Islam. Lawan mereka dianggap sebagai anti-Islam dan sekular walaupun bersembahyang di Masjid APIUM ataupun Masjid Ar-rahman yang sama. Tetapi, berlemah-lembut pula dengan mereka yang ibadatnya tidak sama, serta dianggap pro-Islam pula hanya kerana memangkah calon yang sama.
Jika diturutkan kepada sejarah, jikalau mengikut neraca mereka yang memakai selempang “pro-Islam atau Islamis” ini, sudah lama mahasiswa Cina telah menjadi pro-Islam walaupun menentang mahasiswa pro-PAS. Sebenarnya, UMANY adalah perkara yang jadid (baharu). Tidak wujud UMANY sebelum ini, melainkan perpecahan dalam group Cina yang mana satu menyokong mahasiswa PAS (sekarang menjadi UMANY) dan satu lagi menyokong golongan aspirasi (menjadi GAM).
 
Dahulukala, gerakan politik mahasiswa Cina hanya ada satu di Universiti Malaya iaitu EC(Election Comittee). Semua mahasiswa Cina tidak kira ia berfikrah DAP, MCA ataupun hanya berminat dengan kebudayaan Cina bergabung di bawah payung ini. EC jugalah yang bersama dengan BMB dan berimamkan ABIM sewaktu zaman perang dengan PMIUM-NADI. Oleh kerana EC bersama dengan ABIM maka, tentulah EC juga pro-Islam seperti sekarang. Melainkanlah, hendak diletakkannya ABIM juga sebagai anti Islam, maka layaklah EC yang menjadi leluhur UMANY sekarang ini juga dilabel sebagai anti Islam. Tetapi, di zaman pra-tahaluf siyasi, itulah tanggapan mahasiswa pro-Pas di kampus UM.
 
Setelah tewas di tangan NADI pada tahun 1996, BMB hanya mampu beroleh kerusi di fakulti. Majoritinya dipegang oleh mahasiswa EC yakni berbangsa Cina. Ketika itu, nyatalah bahawa hanya mahasiswa bukan Islam yang menjadi penghalang NADI-PMIUM. Kee Kok Joo mungkin bernasib baik disebabkan tidak menjadi mahasiswa ketika itu, kerana sahlah dia akan dicap anti-Islam yang tulen tanpa kompromi lagi oleh puak-puak yang sama yang ketika ini mengangkat beliau sebagai Naib Presiden MPP.
 
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Disebabkan oleh peristiwa pemecatan Dato’ Seri Anwar, suasana politik UM turut berubah pada sesi 1998/1999. EC yang selama ini dianggap kafir harbi sekarang sudah bertukar menjadi sekutu tercinta oleh pihak NADI-PMIUM. Mereka yang terbabit dalam menubuhkan Gagasan ini adalah Zaharuddin Abdul Rahman bekas Presiden PMIUM merangkap Presiden GAMIS, Mohd Nasir Zakaria sebagai Presiden PMIUM ketika itu dengan Borhan Che Daud sebagai Presiden MPP merangkap exco Lajnah Hal Ehwal Semasa dan Siasah PMIUM. ABIM menurut sahaja arus, yang mana seolah-olah menuntut bela al-Masih ibnu Che Yan mereka yang telah ditahan ISA. Wakil mereka iaitu saudara Amir Affendi Mohd diberikan jawatan Timbalan Presiden 1 iaitu suatu post yang tidak bernilai di sisi AUKU.
 
Pihak EC pula diwakili oleh Ong Chonn Heng sebagai Timbalan Presiden 2. Sewaktu ini senario politik masyarakat Cina telah didominasi oleh mahasiswa DEMA yang pro-DAP. Namun begitu, keadaan ini dipejamkan oleh PMI kerana PAS dan DAP di luar sana juga turut berbulan madu.
 
Apabila timbul perpecahan dalam EC, muncul pula UMANY yang terang keDEMAannya. Seperti mana PMI yang tiada bezanya dengan PAS, seperti itu juga UMANY dengan DAP. Maka, sepatutnya dapat diagak dan diramal sikap UMANY. Tetapi, segalanya tidak apa asalkan mereka bersama dengan PMI. Tahap mereka diangkat hampir menyamai Abu Talib atas dasar kononnya mereka “membantu Islam”.
 
Tentulah lucu tetapi sinis membandingkan pro-Islamnya Dahri Zakaria dengan Kee Kok Joo. Samalah perumpamaan tersebut dengan sindiran Nabi Ibrahim kepada kaumnya akan samada berhala sembahan mereka mampu bercakap atau tidak. Jawapan yang kita perolehi pun hampir sama tetapi tidak serupa. Masakan Kee Kok Joo itu pro-Islam sedangkan dia tidak Islam sebagaimana masakan berhala itu boleh bercakap sedangkan ia bisu.
 
Jadi apakah neracanya ia pro-Islam atau tidak? Berapa banyak wang ataupun sumbangan Kee Kok Joo dalam berdakwah kepada kaumnya supaya bershahadah sama seperti kita? Bolehkah dia redha kepada dakwah tauhid sebagaimana Abu Talib berlapang dada akan dakwah Rasulullah SAW?
 
Jika dianggap pro-Islam itu kerana memangkah GMUM ataupun sekadar hadir dalam majlis-majlis politik GMUM maka malanglah sekali pemikiran tersebut. Bagaimana pula jika golongan yang sefikrah dengan Kee Kok Joo itu berada di dalam majlis yang mempunyai unsur anti Islam oleh Lim Kit Siang dan Karpal Singh di luar sana?
 
Mungkin juga golongan mahasiswa PAS dan simpatisan mereka boleh berijtihad, UMANY bersifat pro-Islam di dalam kampus tetapi anti Islam di luar. Barangkali atas dasar sahabat, jika rakan “pro-Islam” mereka ini mati di dalam kampus maka matilah mereka sebagaimana matinya Abu Talib dan bolehlah mereka bersolat hajat agar diberikan seksa seringan ayahanda saudara Nabi. Tetapi, jika mereka pergi tanpa kembali di luar kampus, maka matilah mereka seperti matinya Abu Jahal dan Abu Lahab di sisi mahasiswa pro-PAS.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: