KPT Perlu Menjengah Kesarjanaan Penyelidik/Pensyarah Tempatan

Sejak UM terkeluar dari senarai penarafan THES, maka pelbagai formula dan juga cadangan telah diberikan dan dibentangkan untuk menangani perkara ini. Walaupun UKM pernah mendahului UM pada tahun 2006, namun perkara ini tidak kekal lama. Oleh itu, dicadangkan diwujudkan Universiti Apex untuk mewujudkan universiti super yang mampu berdaya saing(mengikut kamus THES) di persada antarabangsa.

Penulis merasakan penarafan memang perlu. Tanpa penarafan, kita tidak punya kayu ukur untuk menilai kekuatan universiti kita. Apatah lagi, kita tidak punya kayu ukur yang jelas di peringkat tempatan untuk menilai prestasi universiti Malaysia. Kita masih terumbang-ambing dalam paradigma universiti pengajaran untuk menghasilkan pekerja yang cemerlang di industri ataupun universiti penyelidikan yang menghasilkan kertas kerja ataupun paten yang terbilang di dalam bidang kesarjanaan masing-masing.

Namun bagi penulis, sebenarnya tidak patut ada pengelasan universiti pengajaran ataupun penyelidikan kerana semua universiti sepatutnya menjadi tempat untuk mengajar anak watan di samping mencari dan meneroka ilmu baru dan yang sedia ada untuk kepentingan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh itu, bagi penulis, nasihat saya kepada universiti yang belum bergelar “research university”, kita tidak perlu gusar tentang perlabelan. Perkara yang perlu diambilkira adalah output sesuatu unviersiti. Cumanya, apakah dan bagaimana untuk menilai keluaran universiti tersebut dan manakah universiti tempatan yang terbaik dalam perkara ini?

Bagi penulis, sebuah universiti yang baik perlu mempunyai graduan yang berkemahiran dan diikitiraf kemampuannya oleh pemegang taruh samada majikan ataupun ibu bapa mahupun diri mereka sendiri. Universiti tersebut perlu juga mempunyai hasil penyelidikan yang baik bukan sahaja diikitiraf antarabangsa tetapi penyelidikan tersebut boleh menyelesaikan masalah masyarakat dan juga kehendak mereka serta meningkatkan taraf hidup mereka secara material mahupun sosial (dan barangkali spritual). 

Dari segi nama, publisiti dan propaganda adalah bagus, contohnya, katakanlah suatu universiti di Malaysia mempunyai pakar yang menjadi rujukan antarabangsa dan mendepani ilmu dalam penyakit masyarakat Eskimo tetapi apalah nilainya penemuan dan kesarjanaan tersebut kepada masyarakat kita dan kemajuan negara. Baik tetapi masih belum mencapai tahap sehingga memberi manfaat sebenar kepada negara dan bangsa.

Dari situ, penulis gemar mengambil contoh daripada Jepun. Salah satu ciptaan mereka yang berguna dan bermanfaat adalah periuk nasi. Tanpa keyakinan dan juga keinginan untuk menyelesaikan masalah yang bersangkut paut dengan mereka, periuk nasi tidak akan tercipta. Begitu juga mee segera dan pelbagai lagi inovasi daripada negera tersebut.

Alhamdulillah, institusi tempatan seperti MARDI juga ada menghasilkan inovasi berbau tempatan seperti mesin lemang dan mesin sate, namun pengkomersialan mesin-mesin ini sehingga mampu dimiliki semua isi rumah seperti periuk nasi masih jauh lagi ke belakang. Selain itu, pelbagai pameran dan pertandingan produk membabitkan IPT-IPT telah dijalankan. Dari satu segi, ia merupakan usaha yang positif tetapi jika ia tidak berjaya dikomersialkan, maka ia merupakan suatu kerugian dari segi kos dan juga tenaga penyelidik.

Untuk mematenkan produk-produk tersebut, ini melibatkan kos yang tinggi jika ia terpaksa ditanggung oleh penyelidik dan ia membebankan pihak universiti dari jangka masa panjang. Oleh itu, pengkomersialan ini memerlukan bantuan dan campurtangan kerajaan. Sebagai contoh, kit-kit pengesan penyakit yang dihasilkan oleh penyelidik tempatan yang telah dilakukan ujian klinikal dan disahkan keberkesanan serta reliabilitinya mestilah diambil dan digunapakai secara wajib oleh Kementerian Kesihatan di hospital-hospital seluruh negara.

Begitu juga, produk-produk tempatan yang lain, bolehlah diambil dan digunakan oleh mana-mana Kementerian sebagai produk angkat untuk memastikan pengkomersialan ini boleh dilakukan. Bagi penulis, campurtangan kerajaan dalam hal ini amat penting sebelum produk tersebut boleh dipasarkan ke dalam pasaran terbuka. Malang sekali, produk-produk penyelidik tempatan sukar mendapat bantuan dari pihak swasta atas pelbagai faktor terutamanya “human faktor” yang tiada kaitan dengan untung rugi. Oleh itu,banyak produk-produk yang baik dan berpotensi telah luput dan dibakulsampahkan di makmal-makmal penyelidikan kerana ia tidak mampu dijual.

Namun, bagi meletakkan universiti-universiti Malaysia ke hadapan sebagai rujukan dalam bidang sains dan teknologi, kita tidak boleh bergantung semata-mata dengan penghasilan produk semata-mata. Dalam kesarjanaan ilmu, penghasilan produk semata-mata tidak banyak membantu dalam membina kesarjanaan dalam diri penyelidik terutamanya dari kalangan pensyarah-pensyarah. Kemenangan seseorang Pemenang Hadiah Nobel tidak diukur atau dinilai dengan berapa banyak produk yang telah berjaya dikomersialkan.

Penulis selalu melayari pelbagai jurnal-jurnal antarabangsa yang terbilang dan mendapati agak sukar melihat nama-nama profesor ataupun pakar Malaysia sebagai editor ataupun lembaga penasihat jurnal mahupun sebagai “reviewer”. Agak terkilan kerana negara jiran lebih mendominasi dan inilah yang menjadikan nama universiti mereka amat dikenali di kalangan rakan sebidang yang juga merupakan parameter yang dikira dalam penarafan. Padahal, mereka hanya mempunyai beberapa universiti sahaja dan usia universiti mereka tidaklah lebih tua dari universiti tertua negara kita (malahan sebenarnya adalah kembar siam yang terpisah dahulukala).

Hakikatnya, perkara ini tidak dapat dan tidak mampu diubah oleh kerajaan. Kerajaan hanya mampu memberikan kemudahan samada fizikal ataupun kewangan kepada penyelidik-penyelidik. Ia kemudiannya berbalik kepada penyelidik kita. Pensyarah-pensyarah kita perlulah menempatkan diri mereka sebagai pakar rujuk di peringkat antarabangsa sehingga menjadi pilihan untuk dijemput bagi menyampaikan “keynote speech” di persidangan-persidangan luar negara dan juga editor ataupun ahli lembaga penyunting jurnal-jurnal antarabangsa.

Penyakit dan kelesuan ataupun sikap berpuas hati ini menyebabkan negara gagal mendapat tempat sebagai pusat rujukan antarabangsa.Penulis ada juga terdengar hasrat dari kalangan profesor madya yang mahu menjadi profesor dan kemudiannya “menyepikan diri” berehat beberapa tahun selepas berjaya menjawat jawatan tersebut. Ada juga melihat untuk menjadi profesor hanyalah kerana pada gaji dan nama. Mereka tidak melihat bahawa kelebihan ini datang dengan lebih banyak tanggungjawab dan amanah yang besar. Seorang profesor perlulah menjadi rujukan dan kitab yang berjalan di mata dunia kesarjanaan. Memang benar, gaji profesor di Malaysia jauh kurangnya dari gaji profesor di UK ataupun USA, tetapi gelaran profesor tidak sepatutnya dicemari dengan persepsi yang sempit dan salah.

Oleh itu, kita menyeru kepada KPT agar melihat prestasi pensyarah dan penyelidik kita di universiti-universiti tempatan. Penulis seringkali membangkitkan persoalan campurtangan Dewan Pemuda PAS yang cuba merekrutkan mahasiswa melalui pensyarah-pensyarah mereka di IPT kerana menganggap bahawa mereka sebenarnya hanya membuang masa dan amanah dari Allah SWT dengan politik remeh-temeh seperti ini. Begitu juga, persaingan antara jemaah yang dibawa oleh pensyarah-pensyarah tertentu dan bagi pensyarah-pensyarah yang tiada fikrah pula, terperangkap dengan politik pejabat dan lobi-melobi sesama sendiri yang membuang masa dan tidak ada faedah.

KPT perlu mengawasi perkara-perkara ini kerana bagi pendapat penulis, unsur-unsur ini turut menyumbang kepada kemunduran IPT kerana masing-masing tidak melihat jawatan profesor ataupun apa-apa jua jawatan universiti lain seperti sebagai posisi suci yang menjadi benteng hadapan negara dalam berhadapan dengan globalisasi. Oleh itu, penulis menyeru agar semua warga universiti sepatutnya menggantung baju politik (termasuklah politik pejabat) sebaik sahaja memasuki gerbang kampus jika kita benar-benar sayang kepada keluarga, bangsa, agama dan negara kita Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: