Pembubaran Parlimen: Terkinja-terkinjakah Mahasiswa PAS Kali Ini?

Penulis menerima berita pembubaran Parlimen seawal 12.45 tengah hari semalam. Dengan itu, lengkaplah satu pusingan pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional kali ini. Namun, pilihanraya umum ke-12 ini akan menyaksikan tentangan hebat dari pembangkang walaupun mereka meyakini bahawa rakyat masih akan memberikan mandat yang utuh kepada kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi penganalisis politik umum, mereka melihat pelbagai isu yang boleh digunakan kedua-dua pihak untuk meraih undi. Tetapi, penulis melihat bahawa tiada isu besar yang boleh dimainkan untuk menaikkan pembangkang. Itulah sebabnya PAS hanya bercadang untuk bertanding 60 buah kerusi parlimen sahaja. PAS sendiri pun menganggap secara hakikatnya masa depan mereka adalah kelam dan tiada arah, berlainan dengan pilihanraya 1999 mahupun pilihanraya 2003.

Walaupun begitu, pemimpin PAS yang sudah mahir dengan perang saraf, tentu sekali tidak berani mengatakan yang benar. Malahan, Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang, dengan nada angkuh ingin mencabar Pak Lah di Kepala Batas. Bagi penulis, perkara ini adalah normal, lebih baik Haji Hadi tumpas di Kepala Batas daripada terus menanggung malu dengan kekalahannya sekali lagi di Marang. Jikalau dia tewas lagi di Marang, maka terbukti rakyat Terengganu khususnya di Parlimen Marang sudah jemu dan muak dengan dirinya.

hadi1

Haji Hadi menyatakan bahawa dia akan bertanding Pak Lah di Kepala Batas. Adakah ini tanda bahawa dia takut untuk menghadapi kenyataan bahawa pengundi Marang menolak kehadirannya?

PKR pula masih dengan isu lama. Penulis melihat penyokong PKR adalah dari kalangan yang idealis yang lupa akan asal usul Anwar. Bagi mereka, Anwar seumpama malaikat yang maksum. Anwar adalah insan kamil mutakammil. Oleh itu, mereka mengiakan sahaja apa yang dikatakan olehnya di BBC, Aljazeera dan sebagainya walaupun sebenarnya tindakan yang dilakukan olehnya adalah pengkhianatan tertinggi kepada negara dengan memburukkan serta mencemarkan imej negara.

Malahan strategi yang dilakukan oleh Anwar, ialah untuk menggambarkan negara kita huru-hara dengan mengaturkan demonstrasi Bersih dan menyokong ekstremis Hindu melalui  Hindraf. Negara cuba digambarkan seteruk Pakistan dan Kenya. Maka, rakyat tidak perlu terpedaya dengan pengkhianat negara ini. Dan , rakyat terutamanya di Permatang Pauh mestilah mengajar PKR supaya tidak menjual maruah negara pada harga yang sangat murah.

Tetapi, di dalam persaingan dan pertempuran parti-parti “besar” ini, muncul pula cadangan parti baru yang dinamakan sebagai Parti Mahasiswa Negara. Kita tidak pasti samada ia adalah hakikat ataupun lawak jenaka. Yakni adakah ia sudah berdaftar dan layak bertanding dalam PRU kali ini. Ataupun, mereka hanya merancang dan Raja Lawak PMN, Azlan Zainal hanya akan bertanding bukan sebagai mahasiswa tetapi sebagai mahasitua dalam PRU ke 13.  Inilah perkara yang harus dilihat oleh mahasiswa, bahawa PMN bukanlah realiti tetapi lawak dan fantasi mahasiswa PAS.

raja_lawak1

Pengisytiharan PMN tidak lebih dari lawak jenaka mahasiswa PAS untuk memalukan dan mengaibkan KPT. Hakikat sebenarnya mereka sendiri tidak yakin untuk bertanding dalam pilihanraya kali ini dan menunggu jemputan PAS dengan tanpa maruah untuk menjadi buruh murahan mereka sebagai jentera PRU

Mahasiswa PAS ini hanya menjadikan parti fantasi ini sebagai platform untuk mencabar dan berlawak dengan Dato’ Mustapha Mohamed. Tetapi, kematangan Menteri Pengajian Tinggi dalam menangani isu ini membuktikan bahawa mahasiswa PAS ini tidak serius dalam bertanding di dalam PRU kali ini. Sehingga artikel ini ditulis, kita masih lagi tidak tahu status PMN, dan adakah benar ada usaha dibuat untuk mendaftar parti politik untuk mahasiswa ini.

Namun, kita harus ingat, bahawa aparatus PAS yang berselindung di sebalik persatuan anak negeri akan terus menjalankan agenda mereka dalam membantu PAS di dalam pilihanraya kali ini. Namakan sahaja Markas Siswazah Kelantan (MSK), HIMPIT, HAMAS dan sebagainya, mereka ini akan terus bergerak memperdayakan mahasiswa untuk menjadi kuli murahan tanpa gaji PAS. Inilah yang sepatutnya dipantau oleh KPT, kerana barangkali PMN hanyalah wajah untuk menutup aktiviti PAS dalam mengerah pelajar untuk membantu mereka dalam pilihanraya kali ini.

PAS menyedari pertolongan mahasiswa amat diperlukan kerana mereka tidak cukup kakitangan dan buruh kasar. PAS sendiri setelah berkira dan bersifir merasakan PMN hanya akan membuang tenaga buruh bernilai mereka sahaja. Oleh itu, wajar bagi PAS untuk tidak menekan butang bagi mengizinkan kewujudan PMN. PAS lebih memerlukan PMI, GAMIS dan SMM kali ini. “Kerosakan” yang diilakukan oleh Raja Lawak Mahasiswa, Azlan Zainal dirasakan sudah cukup.

Oleh itu, penulis berharap, KPT dapat memantau pergerakan mahasiswa terutamanya ke Kelantan dan Terengganu. PAS Kelantan dalam keadaan cacing kepanasan untuk mempertahankan kubu terakhir mereka. Maka, adalah munasabah si cacing ini akan menggunakan apa sahaja modal yang ada untuk mempertahankan lubangnya dari dikambus. Dan modal yang paling berharga adalah mahasiswa.

Namun, apakah layak mahasiswa dicucuk hidung dan telingan oleh MSK dan seumpama dengannya kali ini? Kita akan lihat adakah hidung dan telinga Raja Lawak dan sekutunya akan ditarik. Jika ya, inilah nilai mahasiswa di pandangan mata PAS dan pemimpinnnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: