Tahniah kepada Dato’ Khaled Nordin Sebagai Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Yang Baru!

Tahniah diucapkan kepada Dato’ Khaled Nordin kerana telah dilantik sebagai Menteri KPT yang baru. Dengan keupayaan dan kebolehan beliau dalam menerajui kementerian yang sebelumnya, diharapkan KPT akan terus berdaya saing terutamanya dalam menongkah arus keilmuan dan kemahasiswaan yang semakin mencabar,

Dari sudut kemahasiswaan, mahasiswa sekarang berhadapan dengan cabaran yang agak getir. Penulis tiada halangan dari segi sokongan mahasiswa kepada mana-mana parti politik. Namun, paksaan ataupun ajakan terhadap parti-parti tertentu dengan kaedah tamrin paksa dan juga manipulasi mahasiswa sebagai bidak-bidak untuk menjalankan sesuatu aktiviti parti sehingga membahayakan mereka dalam pembelajaran adalah amat ditentang oleh penulis.

Oleh itu, kehadiran Dato’ Khaled Nordin membuka lembaran baru dan ini sebagai usaha penerusan yang telah dijalankan oleh Dato’ Mustapha Mohamed untuk memastikan mahasiswa-mahasiswa kita boleh menjaga diri mereka dan diberi peluang untuk berfikir dan tidak dipaksa untuk menyokong mana-mana parti terutamanya pembangkang yang sentiasa cuba merekrut ahli walaupun secara luar tabii.

Kewujudan sekumpulan mahasiswa yang menamakan diri mereka sebagai Parti Mahasiswa Negara merupakan satu topengan untuk mengaburi KPT dan juga rakyat. Telah didedahkan oleh sahabat seperjuangan saya, Saudara Jabdin Juhat melalui sekeping gambar foto bahawa PMN sebenarnya bersama dengan PKR dan PAS dalam kempen mereka. Mereka tidak berminat untuk bertanding, sebaliknya menjadikan perkara ini bukan sahaja untuk mencemarkan imej mahasiswa amnya tetapi juga kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi secara khusus.

Namun, harapan kami kepada Yang Berhormat tidak terhad kepada politik kemahasiswaan semata-mata. Kami yakin bahawa idea Dato’ untuk membangunkan IPTA seluruh negara ke mercu tanda yang cemerlang, gemilang, dan terbilang terutamanya dari segi penarafan dan kualiti pengajaran dan penyelidikan merupakan sasaran penting Dato’.

Negara tidak boleh hanya melihat penarafan THES sebagai tanda aras universiti kita. Namun, agenda universiti apeks perlu disokong agar negara akan menjadi tumpuan dan juga harapan bagi negara-negara Islam yang lain sebagai rujukan dalam dunia pendidikan tertiari moden hari ini.

Tetapi, agenda penarafan tidak boleh menenggelami tanggungjawab sosial negara terhadap Dasar Ekonomi Baru, dan juga peningkatan taraf kaum-kaum minoriti yang lain. Kerajaan harus memperkasakan penyelidikan dan pendidikan sepanjang hayat bagi menghasilkan rakyat yang mampu menilai kebaikan dan keburukan serta mampu meningkatkan taraf hidup mereka melalui mobilisasi sosial.

Negara tidak mampu lagi ketinggalan dari negara-negara maju apatah lagi negara-negara harimau kecil seperti Korea Selatan, Taiwan malahan Thailand. Perekrutan pensyarah dan tenaga penyelidik yang lain dari peringkat sarjana ke peringkat kedoktoran perlu dilakukan secara aktif. Lebih ramai mahasiswa digalakkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana melalui pelbagai mod pembiayaan daripada geran sehinggalah biasiswa.

Pensyarah-pensyarah yang sudah mempunyai ijazah kedoktoran juga seharusnya digalakkan untuk mengikuti latihan pasca kedoktoran untuk meningkatkan kemampuan mereka dalam bidang penyelidikan. Ini kerana penarafan dan juga peningkatan taraf hidup rakyat amat berkait dengan tahap penyelidikan negara  kita. Oleh itu, perlantikan pentadbir-pentadbir universiti yakni Naib Canselor-Naib Canselor perlulah berlandaskan kepada mereka yang bersifat mesra penyelidikan dan hal ehwal politik kemahasiswaan perlulah diberikan dan diuruskan oleh TNC HEP berkaitan. 

Harapan mahasiswa juga untuk pengetahuan Dato’ agar isu PTPTN dapat ditangani dan diselesaikan. Pinjaman yang lebih mudah dan tidak membebankan diharapkan mampu menghindarkan mahasiswa dari dipengaruhi oleh pihak pembangkang yang berusaha sedaya-upaya untuk menghasut mahasiswa, sedangkan mereka tidak memahami hakikat bahawa perbelanjaan untuk menguruskan universiti adalah mahal dan tidak mampu ditanggung oleh kerajaan 100% tanpa bantuan dari rakyat. Oleh itu, lebih banyak biasiswa untuk mahasiswa cemerlang dan diskaun kepada sebahagian pelajar yang melepasi CGPA 3.00 perlu diperkenalkan. Selain itu, skim pinjaman tanpa faedah harus diperkenalkan kepada mahasiswa tanpa mengira latarbelakang mereka.

Harapan mahasiswa kepada Dato’ amatlah tinggi. Namun, mahasiswa perlu memberikan ikrar dan taat setia kepada pihak Dato’ agar IPTA dan IPTS tempatan dapat terus mengemudi kegemilangan terutamanya di persada lautan biru dunia pendidikan antarabangsa yang semakin mencabar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: