Anwar Tidak Lagi Menjadi Idola!

Roslan Che Mahmud

 -Artikel dari Akhbar Mahasiswa

Mahasiswa pada zaman 90-an bermimpi untuk menjadi Anwar. Pemberontak di zaman mahasiswanya tetapi ketika itu bergelar Timbalan Perdana merangkap Menteri Kewangan. Masing-masing terasa ingin meniru Anwar walaupun berada di kem sang pembenci Anwar. Formula Anwar diolah dan diterjemah, walaupun yang menjadi kepala Jemaah itu adalah Saari Sungib ataupun seteru Anwar ketika itu, Hadi Awang ataupun di tahap yang lebih rendah, Mohd Sabu.

Sekarang, trend sudah berubah. Gaya Anwar adalah gaya lama. Mahasiswa pembangkang mati kutu. Sukar untuk mengkaderkan mahasiswa yang hendak menjadi senang dan glamour dengan menjadi pemberontak dan anti-establishment terlebih dahulu. Budaya memberontak hanya ada pada anak-anak murid Hishamuddin. Biar tidak habis mengaji universiti, asal ada tempat sebagai exco sebuah parti ataupun boleh bersantaian enak di tepi Jalan Telawi. Mungkin juga kerana mereka tidak semata duitan seperti anak-anak usrah al Fadhil Ustaz Idris Ahmad yang berbangga dengan kereta Mercedesnya. Tujuan meniru Anwar atas sebab musabab kerana mana tahu, jikalau untung badan, dapat menjadi orang-orang besar di kemudian hari,tidak ubah seperti Anwar.

Itulah matlamat sesetengah pemimpin pelajar, beradikal-radikal dahulu, bersenang-senang kemudian. Ungku Aziz dahulu juga biasa menempelak anak muda 70-an yang dahulunya sosialis dan marhainis, sekarang menjadi korporat dan kapitalis totok. Dahulu pejuang setinggan, tetapi sekarang pembina kondominium mewah dan elit. Itulah Idealisme mahasiswa yang tidak kesampaian. Kerana Anwar terbuang dan sakit belakang, maka perkaderan mahasiswa pembangkang juga seuzur belakang Anwar kerana mahasiswa tahu bukan senang untuk menjadi senang jika diikut jalan Anwar.

 emakin kurang mahasiswa yang terpengaruh dengan slogan “suara mahasiswa adalah suara keramat”. Kurang lagi yang mencemuh, mahasiswa sekarang lesu. Kerana yang mencemuh itu sendiri pun pucat jika tahu anak mereka yang besar panjang di universiti menerima surat tidak bayar hutang PTPTN. Apatah lagi jika anak mereka berdemonstrasi di Jalan TAR. Masing-masing kembali kepada realiti, anti-establishment bukan cara mencari penyelesaian, jauh sekali jalan kesenangan.

 Apakah salah Anwar sampai dirinya ditolak mahasiswa mutakhirin?

Tertolaknya Anwar berlaku secara gradual dan maha perlahan. Golongan pertama yang bertanggungjawab sebagai faktor tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah mahasiswa PAS sendiri. 1982 menyaksikan lontaran kata nista Pemuda PAS di kampus mahupun di alam realiti bahawa Anwar mengkhianati gerakan Islam. Wajah Anwar tercalar dan terpalit dengan tuduhan tidak konsisten dan derhaka.

Anwar terus dimekap dan diwajahkan sebagai seorang yang sanggup membelakangi agama demi mencapai makam yang tinggi lagi terpuji dalam politik. Mat Sabu lebih takut Anwar menjadi Perdana Menteri dari Tun Dr. Mahathir. Karakter assasinasi Anwar dijadikan batu loncatan Pengerusi Pemantau Pilihanraya Kampus PAS Pusat untuk naik sebagai pemimpin PAS. Terencat karier beliau apabila Anwar diangkat Imam Mahdi baru gerakan pembangkang selepas 1997.

Kehidupan Anwar yang mewah dan terlalu banyak publisiti terutamanya selepas terpenggalnya Tun Ghaffar Baba dari kerusi TPM, mengiakan tohmahan PAS. Insan kamil mutakammil ini semakin jauh dari kehidupan marhain yang beliau perjuangkan di tahun 1970-an. Harapan orang tatkala itu ialah manatahu jikalau Anwar hanya berlakon. Tunggulah saatnya apabila beliau menjadi PM. Mungkin, Anwar akan berubah semula. Tiada lagi nyanyian Nonaku Azizah di pentas, mungkin zikrullah pengganti halwa telinga, almaklumlah, Anwar mesti menunjukkan beliau lebih UMNO dari UMNO. Begitulah harapan tinggi orang jamaah Islam. Namakan sahaja mereka itu IRC, ABIM, ataupun orang PAS seperti Arwah Ustaz Fadzil Noor.

Namun, imej Anwar tercalar. Barangkali cukup mungkin, hanya ABIM sahaja perisai keras beliau untuk menunjukkan bahawa beliau masih pejuang Islam sejati. PAS terus tersenyum dengan perkembangan tersebut. Anak muda radikal semakin melihat hipokrasi Anwar.

Sesi 1996/997, menyaksikan kumpulan tajaan Anwar di kampus Uni Malaya tertolak. Puas beliau turun ke padang dengan perhimpunan Raksasa. Tetapi, mahasiswa sinis dengan Anwar. Kerinci Link turut terpalit dengan tangan Anwar yang hanya berdiam diri, dan kedatangan pasukan kriket Yahudi juga tiada kata dua oleh beliau sebagai Islamis yang pernah dipuja dan dipuji gerakan Islam sedunia. Kini, apabila Cohen dan Wolfowitz yang dikejari, mahasiswa di zaman itu sudah mendapat jawapannya.

Lantas, Mahasiswa Uni Malaya sudah meluat dengan Anwar. Mana janji Anwar? Baru sahaja TPM, tetapi keadaan semakin teruk. Apa mungkin lebih teruk jika beliau menjadi PM? Selebihnya adalah sejarah.

Reformasi. Kata-kata keramat yang merubah Eropah dijadikan azimat untuk menggegarkan kerajaan Tun. Dosa-dosa Anwar terhadap PAS terampun. Seperti mana kepercayaan Kristian, Nabi Isa disalib untuk membersihkan dosa manusia, terpenjara Anwar di Sungai Buloh, membersihkan dosa beliau. Harapan utopia PAS dan kuncu-kuncunya ialah,apabila beliau terbebas, akan tertubuh Kerajaan Langit yang bahagia dan harmoni. Di bawah Anwarlah, hatta singa pun boleh tidur dengan kambing.

Di zaman reformasi Anwar, tidak terbilang anak muda dipukul FRU. Berbangga beliau kerana ada orang yang sanggup dipukul kerana pujaan hati mereka. Sekarang pun, belum tentu ada orang yang sanggup dibelasah kerana Mawi. Tetapi, ada yang sanggup untuk Anwar! Syabas! Seronok beliau melihat anak muda dibelasah hanya untuk beliau. Begitulah pemimpin agung, Islamis bergelar insan kamil mutakammil. Namun, masih tidak dapat menandingi Amien Rais, ada mahasiswa yang sanggup membidangkan dada untuk disemburkan dengan peluru! Apa boleh buat, mahasiswa Malaysia masih berada di bawah ketiak ibu mereka! Alangkah baik jika aku Timbalan Presiden Indonesia, mungkin sekarang aku sudah menjadi Presiden Indonesia!

Saat ini, mahasiswa tidak sedar bahawa tangan yang memberi mereka biasiswa dan subsidi yang mereka lawan. Selepas demonstrasi, keadaan seperti biasa. Tiada polis menyerbu kolej kediaman, semua kembali tenang sehingga hari Jumaat akan datang. Perkara biasa, duit biasiswa dan subsidi bukan di hak kerajaan tetapi di hak rakyat. Tidak apa, kalau PAS memerintah pun sama juga, mesti kami dapat masuk universiti dan ada subsidi. Lupa pula mereka tentang rakan-rakan mahasiswa di Nigeria, Bangladesh, Ghana dan banyak lagi. Hanya kerajaan yang baik mampu menguruskan wang sebegitu efisien sehingga ramai yang berpeluang masuk Universiti. Alpa mereka bahawa memerintah kerajaan tidak semudah seperti seorang Tuan Guru menyampaikan kuliah Subuh.

Mereka yang ditangkap dan diISA, syahid dipandangan “gerakan mahasiswa”. Mereka menunggu sahaja apa pemimpin mereka bakal katakan. Namun, pemimpin mereka membungkam seribu kata. Mana kata-kata azimat Anwar? Lebih realistik lagi, mana duit parti Keadilan ataupun peluang kerja dari mereka? Anak-anak muda yang dikenakan tindakan, hanya termanggu. Menghitung hari yang belum menjanjikan syurga, dan barangkali neraka dunia. Mungkin jika mereka bijak, sekurang-kurangnya mereka boleh berijazah ataupun paling lekeh tidak berekod polis. Masakan anak muda yang sembahyang pun tak tinggal, berekod polis! Tetapi, siapa peduli, kami hanya korban politikus.

Anak muda semakin mampu berfikir. Zaman sudah berubah. Era memuja Anwar sudah tamat. Tiada siapa yang akan menolong jika kami terseksa, terbuang dan terpenjara. Semasa senang, kami dicari, semasa susah, nafsi-nafsi. Seperti menjual roh kepada syaitan sahaja lagaknya untuk mengisi angan-angan diri sendiri bagi menjadi pemimpin agung di akhir zaman.

Masih adakah mahasiswa yang berangan-angan sedemikian? Jawapannya masih ada. Carilah mereka di dada akhbar partai pembangkang. Tetapi, seperti ratusan lainnya yang pernah menghiasi carta pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an, mereka akan ditelan zaman dan dilupakan. Ketika itu, mereka akan berkata, “Terima kasih, Bro. Anwar, kerana telah menunjukkan kami jalan!!!”

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: