Sejauh Manakah Penularan Fahaman Syiah di Kalangan Mahasiswa?

Abang Abdullah Abang Suhadi

 

Artikel dari Akhbar Mahasiswa

 

Fahaman Syiah merupakan suatu fenomena asing bagi kebanyakan masyarakat di negara kita sehinggalah kita dikejutkan dengan kemenangan Khomeini menumbangkan Shah Iran dalam Revolusi Iran pada tahun 1979. Kejayaan ulamak-ulamak Syiah menumpaskan rejim Shah Iran merupakan titik tolak kepada penyebaran fahaman ini ke seluruh dunia dengan fikrah yang jelas dan strategi yang tersusun. Khomeini dijadikan ikon baru fahaman ini, malahan ke tahap lebih popular dari ikon tradisi Syiah seperti Saidina Hussein dan Imam Jaafar As Sadiq selepas revolusi tersebut.

 

Sudah menjadi adat kebiasaan, gerakan yang mencapai kemenangan lebih mudah mendapat pengikut dan lebih senang memperolehi populariti. Seperti mana komunisme yang mula mendapat perhatian akibat kemenangan golongan ini menubuhkan Republik Soviet dengan Revolusi Bolshevik, gerakan Syiah mula diiktiraf dan dijadikan sebagai “role-model” terutamanya dari gerakan Islam di dunia bukan Arab. Ini kerana di Dunia Arab, gerakan Islam terutamanya Ikhwanul Muslimin yang berfahaman Sunni mengetahui bahawa gerakan tersebut adalah gerakan Syiah dan bukannya gerakan Islam yang syumul. Oleh itu, kejayaan golongan ini diraikan tidak lebih dari dasar atas sama-sama berorientasikan agama, serta ditolak sebagai panduan bukan seperti sesetengah pihak di Malaysia.

 

Penularan Fahaman Syiah Secara Politik

 

Revolusi Iran dijadikan inspirasi golongan ulamak di dalam PAS untuk naik berkuasa menjatuhkan golongan Nasionalis Islam pimpinan Allahyarham Dato Asri Muda. Kepimpinan ulamak merupakan teori Syiah yang diambil bulat-bulat oleh pihak ini yang nyata menguntungkan golongan ulamak tanpa mengetahui bahawa dengan jelas bahawa Islam tidak mensyaratkan bahawa seorang pemimpin mestilah seorang ulamak. Perkara ini hanyalah sah bagi golongan Syiah kerana golongan ulamaknya yang tertinggi mempunyai Wilayatul Faqih yang membolehkan mereka membuat hukum secara mutlak  walaupun tanpa merujuk kepada Al Quran dan Sunnah serta berfungsi  menggantikan imam-imam mereka yang maksum sebelum turunnya Imam Mahdi.

 

Konsep kepimpinan ulamak tidak mempunyai asas dalam tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah kerana khalifah tidak semestinya seorang ulamak. Ini ditunjukkan oleh khilafah Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Malahan, mereka yang terkenal faqih selepas kewafatan Nabi seperti Ibnu Umar RA, Ibnu Abbas RA dan Abu Hurairah RA tidak pernah termasuk dalam senarai mereka yang bakal dipilih untuk memegang tampuk kekhalifahan di zaman para sahabat.

 

Akibat daripada pemujaan kepada Revolusi Iran, slogan kepimpinan ulamak digunakan untuk mendominasi dan membersihkan Parti PAS. Dewan Ulamak PAS diwujudkan sebagai badan tertinggi yang memutuskan keputusan parti selari seperti mana yang wujud di Iran. Perkara ini melarat sehinggakan sebahagian pemimpin PAS mula mendalami fahaman Syiah dan mempunyai hubungan rapat dengan Iran dan juga Hezbollah di Lubnan. Keluarnya mereka dari fahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah menyebabkan wujudnya faksi Syiah di dalam PAS dan mereka juga bersaing dengan aktif dengan proksi jemaah Islam kuat berfahaman Sunni seperti IRC/JIM dalam perebutan kuasa di dalam PAS.

 

Promosi Fahaman Syiah Terhadap Mahasiswa

 

Mereka mula mempromosikan fahaman Syiah dengan halus. Pujian-pujian diberikan kepada Iran kerana kejayaan pemuda-pemuda mereka yang teguh berpegang kepada fahaman Syiah menumbangkan pemerintah mereka. Ini ditambah pula dengan kemenangan Hezbollah menghalau tentera Yahudi Israel dari selatan Lubnan di awal abad ini. Berita ini pastinya menambahkan keyakinan kepada mereka bahawa kemenangan tersebut disebabkan oleh kebenaran fahaman ini. Padahal di dalam Islam, soal menang atau tidak bukanlah menjadi ukuran kebenaran dalam Islam.

 

Tarikan ini bukan sahaja melalui berita-berita popular seperti ini malah juga melalui intipati perjuangan Syiah yang asal. Perjuangan Syiah dipromosikan sebagai dokongan kepada kekhalifahan Saidina Ali bin Abi Talib RA dan juga tuntutan penyokongnya terhadap hak kekhalifahan tersebut. Saidina Ali dianggap lebih layak memegang khalifah berbanding Saidina Abu Bakar RA. Peristiwa Fitnah yang melibatkan peperangan yang memecahbelahkan umat Islam kepada penyokong Saidina Ali RA, Saidina Muawiyyah RA dan juga faksi Saidatina Aishah RA bersama Saidina Talhah bin Ubaidillah RA dan Saidina Zubair Al Awwam RA dijadikan penarik kepada pendokong Syiah untuk menyebarkan dakyah mereka.

 

Penyokong Sunnah dianggap bathil kerana tidak menyokong Saidina Ali RA dan Ahlil Bait (keluarga Rasulullah) dan tidak menafikan kekhalifahan Khalifah Al Rashidin yang lain serta kerajaan-kerajaan Islam selepas itu. Tuduhan ini tidak tepat kerana keluarga Rasulullah tidak sepatutnya disempitkan kepada Saidina Ali, Saidina Fatimah, Saidina Hussein dan anak cucu mereka sahaja. Ini bertentangan bukan sahaja dari segi struktur keluarga masyarakat Arab tetapi mana-mana bangsa di dunia. Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA adalah bapa mertua Rasulullah. Saidina Uthman RA pula adalah menantu Rasulullah malahan Saidina Muawiyyah pengasas Bani Umayyah sendiri adalah adik ipar Rasulullah. Oleh itu, amat tidak munasabah menganggap bahawa hanya golongan “Ahlil Bait” sahaja adalah keluarga Rasulullah.

 

Kekeliruan ini harus dijelaskan kerana mereka menganggap bahawa hanya “keluarga Rasulullah” sahaja yang berhak kepada kekhalifahan. Masyarakat yang tidak mengetahui akan tipu helah Syiah akan terperangkap di sebalik slogan menyokong perjuangan politik Ahlil Bait. Walhal, selepas itu mereka terpaksa menelan hakikat bahawa fahaman Syiah mengajar bahawa wujud manusia yang bukan Nabi yang maksum dan tidak berdosa hanya berdasarkan kepada keturunan.

 

Modus Operandi Menjerat Mahasiswa

 

Jiwa mahasiswa yang memberontak merupakan ruang yang paling sesuai untuk fahaman Syiah meresap. Ikon lama Syiah seperti pertembungan Saidina Hussein menentang Bani Umayyah dijadikan tema untuk menarik anak muda. Manifestasi kepercayaan tersebut berakhir dengan amalan yang sesat seperti memukul-mukul tubuh badan sehingga cedera sempena peristiwa terbunuhnya Saidina Hussein pada 10 Muharam. Walaupun amalan itu bertentangan dengan akal, namun oleh kerana tema tersebut menarik dari segi politik, ia terus menjadi semboyan yang berkesan untuk menarik mahasiswa.

 

Cerita-cerita tersebut disebarkan bukan sahaja melalui buku-buku yang diimport dari negara jiran. Laman seperti Ummahonline merupakan medan terbaru untuk menyebarkan fahaman ini. Laman ini diasaskan hampir 2 tahun yang lalu secara halus memuatkan pendapat-pendapat menyokong fahaman Syiah. Kisah-kisah “Ahlil Bait” dan juga ucapan-ucapan yang memuji perjuangan Syiah Iran dan Hezbollah oleh tokoh parti tertentu yang berfahaman ini amat banyak dimuatkan.

 

Kelicikan pengendali laman ini adalah nyata. Jika diteruskan taktik tersebut secara berterusan, lambat-laun masyarakat akan terbau pekung mereka. Maka, dimasukkan juga tulisan penulis-penulis yang pandangannya pro pembangkang dan berpandangan Islam liberal untuk menarik mahasiswa yang jiwanya kosong dan juga bergolak supaya terpengaruh dengan propaganda mereka.

 

Bahaya Syiah kepada Masyarakat

 

Terdapat ahli masyarakat yang berpandangan bahawa tidak salah untuk menganut fahaman Syiah atas alasan kebebasan agama. Tetapi, dalam melakukan suatu analisis, adalah lebih baik kita merenung kepada sejarah dan pola masyarakat Islam. Fahaman Syiah bukan berpusat kepada perbincangan berdasarkan lojika, tetapi kepada iman dan kepercayaan. Piawaiannya adalah berbeza dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah kerana sumber yang digunakan oleh golongan Sunni adalah Al Quran dan Hadith yang sahih tetapi sumber golongan Syiah adalah pendapat imam-imam mereka yang dikatakan maksum.

 

Kewujudan golongan Syiah sendiri adalah berdasarkan kepentingan politik iaitu untuk menegakkan ketuanan keturunan Saidina Hussein. Oleh itu, fahaman Syiah tidak dapat dibanteras kerana kewujudannya sendiri adalah berdasarkan sentimen dan emosi. Jika mereka tewas di dalam berhujah sekalipun, kebanyakan mereka akan beralih kepada perbuatan takiyyah yakni suatu lagi ajaran Syiah yang dibolehkan iaitu berdusta dan berpura-pura untuk menyelamatkan diri.

 

Akhirnya, masyarakat akan berpecah belah kerana perbincangan bukannya berdasarkan atas suatu piawaian yang sahih. Kebencian yang tersemat akan membuahkan keganasan seperti mana yang berlaku di Iraq dan Pakistan pada masakini. Ini bukan sahaja menyusahkan umat Islam tetapi juga mereka yang bukan Islam. Oleh itu, mahasiswa perlu berhati-hati dengan dakyah golongan Syiah. Tampak menarik tetapi mengandungi racun yang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi juga keluarga, bangsa, negara malahan agama yang tercinta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: