DEB dan Mahasiswa Islam

Politik sekular tidak dapat lari daripada material ataupun lebih diwarwarkan oleh PAS sebagai fikrah madiyyah(faham kebendaan). Namun, perkara inilah yang ditumpukan oleh Barat kerana mereka berpendapat bahawa kebahagian di dunia ini boleh ditentukan dengan pembahagian kekayaan yang memuas hatikan semua orang. Tanpa material yang mencukupi, rakyat akan marah dan negara tidak menjadi aman. Terbentuknya rakyat yang aman dan bersatu padu akibat dari cukupnya material boleh memastikan negara bangsa mereka menjadi kuat.

Perkara tersebut bermula dalam abad ke-18 dan diimplementasikan sepanjang abad ke-19 sehinggalah proses kematangannya pada abad yang lepas yang seterusnya menyaksikan kehancuran blok komunis. Namun, di dunia Islam ketika itu,politiknya masih berkisar kepada keturunan siapa  ataupun puak mana yang sepatutnya menjadi khalifah. Walaupun Islam itu lengkap, tetapi umatnya alpa dalam menyelesaikan masalah-masalah dalam fiqhul waqi’, menjadikan perkara-perkara ta’zir diambil mudah. Sedangkan Barat semakin maju dalam sains, pembahagian kekayaan, penyusunan undang-undang ta’zir dan persenjataan meninggalkan negara-negara Islam.


Sehubungan dengan itu, DEB sebenarnya adalah salah satu cara untuk menangani masalah pembahagian harta kekayaan tersebut. Sebelum ini, kekayaan negara termasuklah peluang kerja samada di sektor awam apatah lagi sektor swasta dipegang oleh orang yang bukan bumiputera. Natijahnya, keadaan yang menelurkan DEB adalah sama dengan revolusi-revolusi materialisme yang lain, mereka yang berasa tertindas merusuh dan terjadinya pertelingkahan antara kelas ataupun kasta yang rendah dengan yang lebih tinggi. Oleh itu, DEB digubal untuk memastikan semua pihak memperolehi harta secara adil, walaupun nampaknya tidak saksama.

Sasaran kerajaan semasa itu sehinggalah sekarang untuk melihat ekuiti kekayaan tersebut sebanyak 30% menjadi milik bumiputera. Ia sebenarnya tidak saksama kerana bumiputera keseluruhannya meliputi 60%, manakala 50.4% adalahdari kalangan umat Melayu sendiri. Tetapi, adalah mustahil untuk mencapai matlamat 60% tersebut kerana kebanyakan kekayaan ini adalah milik bukan bumiputera dan milikan asing. Maka, kekayaan asing ini diambil tetapi milikan bukan bumiputera dikekalkan supaya sasaran 30% ini dicapai.

Untuk membolehkan mobilisasi sosial berlaku di kalangan kaum bumiputera, sektor awam memulakan langkah merekrut tenaga kerja dari kalangan bumiputera. Dahulu, kaum bumiputera mungkin tertumpu kepada pekerjaan seperti polis dan tentera tetapi perekrutan ini melibatkan juga post berjawatan tinggi (termasuklah guru) di pejabat-pejabat yang dahulunya juga dikuasai oleh bukan Melayu.

Pendidikan diberi keutamaan, lebih banyak sekolah terutamanya sekolah berasrama penuh dibuka untuk memastikan jawatan-jawatan yang memerlukan pendidikan tertiari ini dipenuhi bumiputera. Biasiswa diberikan kepada anak-anak bumiputra untuk melanjutkan ke luar  negara  kerana  hanya satu sahaja  Universiti yang ada iaitu Universiti  Malaya di samping diskriminasi  yang dihadapi  oleh siswa-siswi  Melayu ketika itu di Universiti Perdana tersebut.

Maka, dalam masa yang singkat, mobilisasi  sosial telah berlaku dan telah wujud golongan kelas pertengahan yang lebih ramai di kalangan bumiputera. Dengan itu, pembahagian harta kekayaan di kalangan rakyat Malaysia telah berlaku dengan cara yang adil. Walaupun ada suara yang menggunakan slogan meritokrasi diketengahkan tetapi falsafah pembahagian kekayaan yang menjadi agenda kestabilan politik dan dunia Barat terus diutamakan dan suara-suara negatif itu dinafikan.

Tanpa DEB, falsafah pembahagian kekayaan tersebut akan pincang. Walaupun sekarang, ada diperkatakan yang kaya semakin kaya,dan yang miskin semakin miskin, tetapi pembahagian kekayaan tersebut masih lagi berjalan di mana peluang untuk memobilisasikan diri masih terbuka luas dalam bidang perniagaan dan pendidikan. Pelupusan DEB secara total, memungkinkan akan wujud ketidakseimbangan sosial yang lebih meluas dan ketara.

Meritokrasi menuntut bahawa sesiapa yang lemah akan ketinggalan. Di Universiti misalnya, kursus yang menerima banyak permohonan akan dikekalkan manakala yang gagal mendapat pelajar akan dimansuhkan. Buat masa sekarang, kita tidak dapat nafikan bahawa kursus-kursus agama dan kemanusiaan masih lagi popular kerana jurusan tersebut mendapat permohonan yang tinggi. Ditambah pula majoriti pemohonnya adalah bumiputera dan jumlah yang besar pula dari kalangan luar bandar.

Namun, jikalau meritokrasi menjadi asas, ini akan menyaksikan kemerosotan yang signifikan dalam permohonan kursus-kursus ini. Kehidupan berkadar langsung dengan pekerjaan dan ini merupakan salah satu dari kiraan cara hidup dan falsafah materialisme. Untuk mewujudkan guna tenaga yang efisien, sektor awam dan sektor swasta perlu mengurangkan kos dan meningkatkan guna tenaga yang ada. Meritokrasi mungkin memaksa jabatan ugama untuk tidak lagi mengambil pegawai dari kalangan lulusan agama, tetapi lulusan pentadbiran dan akaun untuk memastikan perkara ini berjalan.

Lulusan agama sudah cukup barangkali seorang di Pusat samada di ibu negeri ataupun di ibu negara untuk menjaga hukum-hakam manakala yang lainnya dipegang oleh graduan lulusan yang lain. Malahan, untuk memastikan keefisienan ini, orang bukan Islam akan turut diberi jawatan kerana lebih layak daripada yang berugama Islam berdasarkan CGPA ataupun kriteria-keriteria lain sesuai dengan tuntutan meritokrasi. Ini adalah natijah daripada pembahagian kek kekayaan berdasarkan meritokrasi dan bukannya falsafah pembahagian kekayaan secara adil.

Dengan itu, semakin kurang peluang pekerjaan kepada lulusan agama dan ini menyumbang kepada penutupan kursus-kursus berdasarkan agama di Universiti-universiti tempatan. Mereka yang masih dengan cara lama (tidak mengikut putaran meritokrasi) yakni melanjutkan pelajaran agama ke Mesir dan negara Timur Tengah yang lain akan ketinggalan. Mereka terpaksa bersaing di pasaran kerja sebagai buruh tidak mahir ataupun peniaga kecil-kecilan yang tidak bergantung kepada kelulusan kerana tiada bantuan dari pihak kerajaan lagi selepas terhapusnya falsafah pembahagian kekayaan yang adil ini.

Manakala, peluang pekerjaan yang ada di sekolah pondok dan sebagainya mungkin masih lagi boleh menampung sebahagian dari mereka ini tetapi ia tentulah berdasarkan juga kepada yuran dan gajinya tentulah lebih kecil daripada sekolah bantuan kerajaan ataupun sekolah antarabangsa kendalian swasta. Ini secara langsung menyebabkan perasaan tidak puas hati lebih menebal di kalangan bumi putera.

Jika putaran ini diteruskan, maka kita boleh melihat kejatuhan yang besar dalam bilangan mahasiswa Islam terutamanya di Universiti yang sudah ternama seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Malahan, jabatan-jabatan ugama di universiti tersebut mungkin dikecilkan dan lambat-laun diserapkan di bawah fakulti sastera. Tiada lagi ambilan untuk jawatan pensyarah untuk bidang agama melainkan barangkali untuk tujuan “memahami terrorisme ” ataupun perkaitan Islam dengan penganut agama lain melalui geran tajaan Amerika dan kuncu-kuncunya.

Dengan itu, mahasiswa Islam perlu memahami falsafah DEB dan kesan-kesan DEB jika ia dimansuhkan. Laungan politik semata-mata tanpa memahami kesannya akan menyebabkan kita seumpama si penternak yang membunuh angsa emasnya kerana menyangka di dalam angsa tersebut tentunya banyak emas yang menanti.

Kedudukan sesetengah mahasiswa pada tempat mereka pada hari ini bukanlah kerana mereka benar-benar layak untuk berada di situ. Namun, sebenarnya kerana berdasarkan “layaknya” mereka untuk menerima pembahagian kekayaan secara adil tetapi tidak saksama ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: