Kesalahan-Kesalahan PAS dari 8 Mac sehingga 16 September

Penulis buat  masa ini belum melihat lagi apa-apa ulasan tentang kesalahan-kesalahan PAS sepanjang PRU 12 tempoh hari. Walaupun agak lama, tetapi isu ini wajar diambil iktibar oleh ramai orang terutamanya yang yakin sangat dengan “keputusan kepimpinan”. PAS seolah-olah kurang diberi perhatian kerana ramai termasuklah penulis sendiri mengacukan papan tulis ke arah Mami Anwar. Namun, kita harus ingat, bahawa sesiapa yang sayangkan Islam akan selalu memuhasabah UMNO dan juga PAS kerana ia adalah tonggak politik orang Melayu-Islam.

anwarkt

Antara kesalahan PAS terbesar adalah terlalu thiqah kepada Anwar sehingga tidak dapat membuat keputusan yang bijak berkenaan masa depan Islam dan hukumnya.Berikut adalah kesalahan-kesalahan siasah dan syarak tentang keputusan yang dilakukan oleh pimpinan PAS dalam beberapa isu:

1) Kes Saiful Bukhari

Penulis mengambil ini sebagai yang pertama kerana inilah sikap dan ijtihad pimpinan PAS yang paling berbahaya dan sebenarnya boleh dijadikan peluru percuma oleh musuh Islam yang sebenar.

Penulis telah perasan lompang besar ini tetapi bimbang jikalau artikel penulis boleh membuka ruang untuk pertikaian hukum Islam tatkala pimpinan PAS lebih sibuk berangan untuk menjatuhkan UMNO dan tidak bersedia untuk mendalami hukum fiqah bagi memuaskan hati.

Kes tuduhan liwat Saiful Bukhari adalah lompang kepada perlaksaan hukuman terhadap jenayah rogol mengikut hukum syarak. Saiful Bukhari mengaku dipaksa diliwat dalam laporan polisnya dan pimpinan PAS telah mengeluarkan hukum qazaf terhadap kes Saiful vs Anwar Ibrahim ini.

PAS bernasib baik kerana pihak Sisters in IIslam, harbiyyuun DAP dan aparat mereka di dalam DAP dan Majlis Peguam tidak mengambil kesempatan dari lompang dari kegopohan PAS membela Anwar dan menjatuhkan qazaf terhadap Saiful.

Andaikata pihak musuh Islam mengambil qias daripada kes Saiful, maka nyatalah undang-undang hudud yang dikemukakan oleh PAS tidak bersedia menghadapi kes rogol ataupun apa-apa jenayah seks paksa. Jikalau PAS lebih berhati-hati dalam menyatakan sokongan kepada Anwar dan tidak mengqazafkan Saiful maka perkara ini tidak berlaku.

Ini adalah kegopohan PAS yang penulis tidak dapat terima kerana mendahulukan matlamat politik dari keindahan syariah Islam dalam menghukumi serta mengadili suatu kes. Di sini penulis lebih berat kepada Mufti Perlis dan nyata di sini PAS kurang nijaksana dan perbuatan PAS boleh mendatangkan fitnah kepada Islam.

2) Muzakarah PAS-UMNO

Di sini PAS sekali lagi membuat kesalahan politik yang berat terhadap kelangsungan perlaksanaan hukum Islam di Malaysia.

PAS sepatutnya meletakkan syarat kepada UMNO yang sekarang “lemah” tentang perlaksanaan hukum syarak di negeri-negeri yang dikuasai oleh PAS. Harus diingat bahawa peluang untuk melaksanakan hukum Islam di negeri-negeri dikuasai PAS di bawah Pakatan Rakyat adalah tidak pasti. Pakatan Rakyat tidak komited dengan perlaksanaaan undang-undang jenayah Islam.

Bagi penulis, keadaan UMNO yang “lemah” dan cube “mengekalkan “kuasa” itu seharusnya diambil peluang oleh PAS untuk melaksanakan hukum Islam di Kelantan ,Perak dan Kedah serta  cubaan  yang sama di Terengganu dan Perlis yang masih dikuasai UMNO tetapi majoriti umat Islam.

PAS sepatutnya mengkaji sistem di Nigeria di mana bahagian utara negara itu dari kaum Fulani dan Hausa (beragama Islam) mengamalkan undang-undang Islam. Namun, tiada bukti bahawa PAS berusaha untuk menjalankan usaha ke arah itu dan perkara yang diketengahkan hanyalah soal kuasa semata-mata.

Jikalau PAS mendahulukan perkara perlaksanaan hukum Islam di negeri-negeri utara Malaysia yang dikuasai PAS tempoh hari, dan hanya akan bersetuju menyertai Barisan Nasional dengan prasyarat tersebut, maka kita boleh melihat sejauh manakah PAS ikhlas memperjuangkan hukum  Islam dan sejauh mana pula UMNO tidak mahukan Islam.

Tetapi, PAS gagal. PAS lebih berminat dengan kejatuhan UMNO dari kebangkitan Islam. Peluang untuk melaksanakan hukum Islam buat kali pertama dalam sejarah Malaysia gagal kerana kurang cerdiknya PAS dalam percaturan politik umat.

3) Penerimaan Jawatan MB Perak oleh Dato’ Seri Nizar

Sesungguhnya mengikut sunnah perjuangan Rasulullah, perkara yang diputuskan oleh PAS menerima jawatan MB Perak adalah mungkar.

Ini bersesuaian dengan sirah Rasulullah SAW yang menolak tawaran untuk menjadi Raja Makkah jikalau Rasulullah SAW berhenti berdakwah kepada musyrikin Makkah.Sepatutnya, jawatan itu diberikan sahaja kepada wakil kepada PKR kerana nyatalah perlaksanaan dakwah dan juga kekuatan Melayu-Islam ditentukan oleh DAP.

Sepanjang pemerintahan Nizar tidak ada kebaikan yang diperolehi oleh orang Islam di Perak. Hanya muktamar PAS sahaja yang nampak Islamik tetapi lain-lainnya lebih menguntungkan kaum Cina. Kita tidak dengar bantuan atau sumbangan kepada ma’ahad-ma’ahad ataupun pondok-pondok terutamanya di utara Perak sedangkan di situlah pengkalan pertama gerakan Islam di Malaysia yakni seperti Ma’had Ihya’ Al sharif Semanggol yang menerbitkan Partai Hizbul Muslimin sebelum PAS ditubuhkan. Harus diingat, kerusi PAS yang pertama adalah di kawasan Kerian yakni di Perak.

Bahkan, jikalau PAS Perak benar-benar sayangkan Islam, muzakarah UMNO-PAS sepatutnya mengutamakan pembentukan kerajaan berteraskan syari’ah di Perak dengan majoriti dari UMNO-PAS. Tetapi, PAS lebih mengutamakan kuasa dan malangnya PAS hanya tinggal lebai malang sahaja di kerusi MB itu.

Keuntungan PAS hanya satu, memperolehi MB yang tahu cakap Mandarin dan Tamil sahaja, tetapi Islam tidak dapat apa-apa.

4) Sokongan Terhadap Perubahan Kerajaan

Pas berulangkali diingatkan bahawa mereka mempunyai potensi sebagai ” The Kingmaker” tetapi mereka tidak pernah menggunakan peluang itu sebaik-baiknya demi Islam.

PAS lebih banyak menari mengikut paluan gendang orang lain dari menentukan paluang gendang itu sendiri. PAS acapkali dicabar dengan isu Forum Memeluk Islam, Isu Azan dan pelbagai lagi. Tetapi, PAS tidak mendepani isu.

PAS tidak mengambil peluang memberi kata dua terhadap Anwar dan bertegas dengan perlaksanaan undang-undang Islam. PAS hanya menanti apakah perkara yang berlaku selepas kejatuhan Barisan dan bukannya mahu kata putus dengan jaminan bertulis adakah Islam akan didaulatkan oleh kerajaan baru tersebut.

PAS melukut di tepi gantang walhal tanpa penyertaan PAS, Anwar memerlukan lebih 50 orang ahli parlimen untuknya menubuhkan kerajaan. Tetapi, PAS gagal menggunakan posisi tersebut untuk kepentingan Islam.

PAS sepatutnya menggunakan peluang tersebut semasa Anwar bertanding Parlimen tetapi pimpinan PAS terlalu bacul untuk memberi kata dua. Anwar tidak akan menang jikalau PAS memboikot pilihanraya kecil tempoh hari sekiranya Anwar tidak mahu komited terhadap perjuangan Islam.

Begitulah 4 kesalahan besar PAS sepanjang tempoh dari 8 Mac sehinggalah 16 September yang lalu. Ketumpulan pemikiran dan penyusunan strategi PAS dalam mendaulatkan Islam dan juga kebodohan PAS dalam embuka ruang melemahkan  Islam menyebabkan peluang perlaksanaan hukum islam terbantut.

Ada yang mungkin masih menjadi Mat Jenin mengatakan bahawa mungkin kerajaan PR akan melaksanakan hukum Islam 100% dan bukan seperti cadangan penulis iaitu di negeri majoriti Islam. Namun, buat masa ini dengan mengharapkan PR, mimpi tersebut tidak akan menjadi kenyataan dengan DAP sebagai duri besar dalam daging.Malahan PAS sudah malu untuk mempertahankan dasar negara Islam dan juga perlaksanaan jenayah syariah untuk menyukakan hati orang kafir walaupun Allah amat membencinya.

Kesimpulan yang telah lama dibuat oleh pengikut JIM/IRC, Hizbut Tahrir, Rufaqa’ Al Arqam dan Tabligh berdasarkan analisa penulis adalah politik PAS bukanlah untuk memperjuangkan Islam tetapi adalah lebih untuk kuasa bagi kumpulan manusia tertentu dan 3/4 darinya didasari oleh sifat dengki khianat, hasad dan perut hijau mereka terhadap UMNO semata-mata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: