Mahasiswa ke Arah Negara Aman dan Makmur

Hari Raya tahun ini sebenarnya agak getir bagi umat Islam di Malaysia. Walaupun sebenarnya Malaysia secara relatifnya adalah aman tetapi jikalau dibandingkan suasana politik yang ada dengan zaman-zaman dahulukala, ini adalah yang paling kacau.

Bagi orang politik samada pemainnya ataupun pemerhatinya, suasana kacau ini dirasakan cumalah sebahagian daripada ranjau politik semata-mata. Tetapi, bagi rakyat biasa, ia mengundang seribu satu persoalan. Penyokong pembangkang selalunya menolak kestabilan politik dengan dengan kemakmuran ekonomi negara. Namun, dengan politik yang kacau terutamanya dengan omong-omong kerajaan baru bakal menggulingkan kerajaan yang ada, ekonomi negara menjadi tidak menentu.

Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum yang perlu diperintah oleh suatu kerajaan yang kuat dan mendapat mandat yang bulat dari rakyat. Mengangan-angankan kejatuhan sebuah kerajaan yang stabil dan berjasa seolah-olah mahukan Iraq pasca Saddam Hussein. Orang Malaysia tidak seperti rakyat Iraq yang biasa susah dan biasa berperang dengan negara-negara jiran. Orang Malaysia menyelamatkan negara dan diri dengan otak dan taktik bukannya dengan kudrat dan keringat.

Ada yang berbangga dengan merdeka beserta dengan tumpah darah dan mengeji kemerdekaan negara yang diperolehi dengan aman dan tenteram. Tetapi, orang yang mempertikaikan kemerdekaan ini sebenarnya tidak faham erti kemerdekaan yang dikecapi. Lihat sahaja umat sebangsa di negara jiran. Asal usulnya lebih makmur di zaman dahulukala dengan pondok-pondok lebih dari yang ada di negara kita. Namun, bahana penjajahan, ramai yang terpaksa hanya menjadi tukang masak di kedai-kedai Tom Yam di ngara kita semata-mata. Bahasa seharian tidak diiktiraf dan ada yang hilang dari lidah pertuturan.

Namun, yang ada di sini tidak bersyukur, ramai yang asalnya berketurunan dari mereka yang berselipar pun tidak untuk ke sekolah, hari ini boleh bercakap tentang demokrasi dan macam-macam lagi dengan menggunakan blog, YouTube dan bermacam-macam lagi. Inilah hasil dari Dasar Ekonomi Baru. Namun, mereka ini mengeji seolah-olah kerajaan yang ada hari ini tidak  menyediakan sesuatu pun untuk mereka untuk maju.

Orang biasa dan mahasiswa biasa selama ini menyokong kerajaan yang sedia ada kerana kerajaan ini telah memikirkan pelbagai cara untuk mendokong pembangunan sosial dan akademik yang sedia ada. Kerajaan yang ada tidak pernah menggangu ibu-bapa dan pelajar-pelajar supaya meyokong kerajaan membabi buta. Mahasiswa dan ibu bapa yang menyokong pembangkang malahan membenci kerajaan terus diberi bantuan dan sokongan kewangan dari kerajaan.

Mereka tidak pernah didiskriminasi oleh kerajaan dan tidak pernah disekat untuk meneruskan pengajian. Malahan, mereka ini terus diambil oleh kerajaan untuk berkhidmat sebaik sahaja bergraduat ataupun apabila sudah tidak mampu bersaing di sektor swasta sebagai pegawai-pegawai tadbir, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan pelbagai lagi jawatan di sektor kerajaan walaupun diketahui terlibat di kampus menyebarkan dakyah membenci dan memfitnah kerajaan yang sedia ada.

Ramai juga dari mereka ini yang sebenarnya tidak mempunyai kemahiran bahasa Inggeris dan kemahiran teknikal lain yang membolehkan mereka bersaing untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta. Tetapi, kerajaan terus membantu mereka atas dasar ihsan dan keinginan melihat mereka berubah dan terus berdaya maju tanpa mengambilkira sentimen politik sempit.

Pinjaman dan biasiswa terus diberikan walaupun negara-negara yang merdeka sezaman ataupun lebih awal dari negara kita telah lama menghentikannya. Mahasiswa perlu sedar bahawa bilangan pelajar yang ada di institusi pengajian hari ini bukan seperti dahulu. Bilangannya sudah mencecah ratusan ribu dan majoritinya kecuali dari berpendapatan tinggi dibantu oleh kerajaan.

Maka, seharusnya, mahasiswa perlu berfikir akan kesusahan pihak kerajaan berfikir bagaimana untuk menyediakan dana bukan sahaja untuk menyokong sara hidup pelajar yang berjumlah ratusan ribu tersebut tetapi juga melibatkan prasarana dan juga tenaga pengajar yang makin bertambah dari setiap tahun. Kita harus sedar bahawa tidak banyak kerajaan di dunia yang membelanjakan perbelanjaan kapita yang tinggi untuk pelajaran dan pendidikan seperti Malaysia.

Buat masa sekarang, kerajaan memerlukan mahasiswa supaya menumpukan masa untuk pelajaran dan menguatkan diri dengan kemahiran. Kemahiran inilah yang akan dilihat oleh majikan sebaik sahaja mahasiswa bergraduat dari kampus masing-masing.Mahasiswa tidak perlu terjebak dengan hasutan sesetengah pihak yang kononnya mahukan lebih ruang untuk berdemonstrasi dan mewujudkan huru-hara. Ini semua tidak akan membantu mahasiswa di alam pekerjaan dan seterusnya tidak akan membantu negara kita untuk maju.

Mahasiswa perlulah memilih kepimpinan yang boleh menyediakan suasana aman seperti mana yang patut sebuah universiti perlu ada dan bukannya menjadikan universiti seperti medan tempur ataupun markas parti politik tertentu semata-mata.

Pilihan terletak pada tangan mahasiswa.Samada untuk bersama  dengan  kemakmuran yang telah lama  dikecapi selama 50 tahun negara kita merdeka ataupun meneruskan ketidakpastian yang tentu mendatangkan malapetaka kepada diri sendiri, universiti, bangsa, agama dan negara terutamanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: