Archive for Dr Mohd Asri Zainul Abidin

MAZA & Musang Berjanggut

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , on February 27, 2013 by maharajazhou

Janda Berjaya – Baru-baru ini, negara digemparkan dengan panggilan dan cercaan seorang pemimpin besar dan tokoh ulama’ Parti Islam Semalaysia yang menyamakan penerima BR1M seperti haiwan ternakan. Nyatalah sekali, kejutan tersebut disambut pula oleh seorang ‘ulamak’ muda yang kontroversial, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, apabila beliau beberapa hari lepas menyamakan kerajaan sebagai pelacur.

Maka, penuhlah facebook dan twitter menjadi mata rantai mencerca dan mengaibkan pemimpin negara dengan menggunakan artikel tersebut, dan berseronoklah ‘ulamak’ muda tersebut apabila kata-katanya dijadikan buah peluru untuk menghina pemimpin negara.

Dr. Maza bermegah sewaktu di UK, adakala orang yang berpendidikan Timur Tengah terus tersirna kerana menganggap diri mereka lebih "moden" dan tidak jumud berbanding sahabat-sahabat sepengajian dari Timur Tengah

Dr. Maza bermegah sewaktu di UK, adakala orang yang berpendidikan Timur Tengah terus tersirna kerana menganggap diri mereka lebih “moden” dan tidak jumud berbanding sahabat-sahabat sepengajian dari Timur Tengah

Menegur Pemerintah

Acapkali, dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah beliau, beliau menasihatkan pendengar dan pengikut beliau supaya berlaku adil dan rasional. Begitulah dalam sejarah manusia, seringkali yang menasihatkan sedemikian adalah mereka yang bertindak 180 darjah bertentangan dengan apa yang didakyah oleh mereka.

Contohnya, seperti pihak komunis, seringkali menamakan diri merekalah yang paling demokratik atau kepunyaan rakyat tetapi di bawah merekalah yang paling miskin demokrasinya dan paling menderita rakyatnya.

Malang sekali, dalam tulisan terbaru beliau, pemimpin kerajaan dituduh sebagai membolot wang rakyat terlebih dahulu sebelum membahagikan kepada rakyat jelata. Digambarkan juga seolah-olah isteri dan kawan-kawan pemimpin negara sedang memfaraidkan harta negara dan menyamakan pemberian-pemberian dari kerajaan itu seperti hubungan seks sebagai penambah perisa penulisannya.

Bukankah tuduhan-tuduhan seperti itu adalah satu tuduhan yang berat? Sudah tentu ‘ulamak’ muda itu tahu bahawa di dalam Al Quran, Allah Taala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain..” (Surah Al Hujurat, ayat 12).

Adakah patut tuduhan yang tidak mempunyai bukti yang jelas itu, kita sebarkan dan kita sambungkan kepada khalayak semata-mata untuk menjadi “hero” kepada pendengar dan juga peminat kita? Adakah begitu murah ilmu dan kedudukan kita untuk digadaikan semata-mata untuk mendapat sedikit pujian di atas dunia ini?

Penulis juga tertanya-tanya, apakah dosa pemimpin kerajaan tersebut kepada ‘ulamak’ muda itu? Apakah pula dosa dan salah isteri pemimpin negara tersebut terhadap Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin itu? Apakah penganiayaan yang pemimpin negara sekeluarga pernah lakukan terhadap beliau ataupun mana-mana ahli keluarga dan sahabat handai ‘ulamak’ tersebut?

Jika ada, alangkah baiknya jikalau beliau pergi bertemu dengan mereka sesuai dengan hadith yang beliau sering ungkapkan semasa beliau menjadi Mufti Kerajaan Negeri Perlis:

“Sesiapa yang ingin menasihati orang yang memiliki kuasa, janganlah dia menampakkannya secara terang-terangan. Sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (orang yang memiliki kuasa) dan bersendirian dengannya (menasihatinya dengan tidak didedahkan aib secara terbuka). Jika dia terima maka dia berjaya, jika tidak dia (orang yang menasihati) telah menunaikan kewajipannya”. (Riwayat Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah 507. Sanadnya sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Albani ketika mentahqiq al-Sunnah ini (hlm 507).

Pukul Anak Sindir Menantu

Penulis sebenarnya agak hairan kerana tuduhan-tuduhan dan keperihatinan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin terhadap pemberian ikhlas pemimpin kepada rakyat adalah bermusim. Maklumat yang penulis perolehi daripada sahabat-sahabat di Perlis, mengatakan bahawa Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim sewaktu menjadi Menteri Besar Perlis adalah sangat pemurah kepada rakyat terutamanya sewaktu bulan Ramadhan. Rakyat miskin di Perlis sudah merasai BR1M sebelum adanya program seumpama ini oleh kerajaan Pusat. Pada waktu yang sama, Dr Mohd Asri sudah menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Setiap malam semasa bulan Ramadhan di Perlis, DS Shahidan telah bermurah hati memberikan wang saguhati dan juga hadiah-hadiah berbentuk bekalan makanan dan peralatan elektrik kepada rakyat Perlis terutamanya yang miskin dan berpendapatan rendah selepas solat terawih. Inilah contoh pemimpin yang berjiwa rakyat.

Ironinya, di manakah suara ‘ulamak’ muda ini sewaktu menjawat Mufti Negeri Perlis sewaktu peristiwa ini berlaku? Tidak muncul pula bait-bait dari kitab As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah oleh Ibnu Taymiyyah oleh Dr Mohd Asri untuk memperingatkan Dato’ Seri Shahidan supaya terselamat dari fitnah dan ‘mulut hodoh’ parti pembangkang.

Walhal, inilah formula yang sama yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menawan hati rakyat jelata sesuai dengan semangat demokrasi yang mengambil kira kehendak rakyat. Maka, janganlah perbuatan Dr. Mohd Asri ini laksana pukul anak sindir menantu ataupun kelak, habis madu sepah dibuang.

Jangan Jadi Seperti Datuk Nikah Kahwin

Melihatkan perbuatan Dr. Mohd Asri ini, mengingatkan penulis terhadap watak Datuk Nikah Kahwin dalam filem Musang Berjanggut oleh Tan Sri P Ramlee yang berkata:

“Tapi tidak mengapa. Undang-undang dalam negeri ini kanda yang bikin. Itu semua boleh padam. ”

Ayat Al-Quran, hadith-hadith dan pendapat–pendapat ulama’, sudah wujud ratusan malahan ribuan tahun.

Namun, janganlah kita menjadi seperti Datuk Nikah Kahwin, yang mana hukum agama itu seolah-olah bikinan mereka semata-mata. Apabila mahu, diambil dan dicatit apabila terasa tidak kena dengan kepentingan tembolok, maka dibuang dan dipadam.

Oleh itu, sukalah penulis mengingatkan kepada Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, sejarah akan menilai sama ada kita akan menjadi seorang yang berpendirian teguh seperti Ibnu Taymiyyah dan Imam Ahmad Ibn Hanbal ataupun seperti sesumpah yang mengikut selera ramai seperti penentang-penentang kedua-dua tokoh ulama’ besar yang disebutkan tadi.

Jika sekiranya pilihan kedua yang dipilih, maka sudah pasti Dr. Mohd Asri akan tercatat di dalam sejarah seperti watak Datuk Nikah Kahwin dan akan diingati sehingga akhir zaman sebagai musang berjanggut

Advertisements

Malaysiakini Namimah/Pengadu Domba, Cerita Tak Pakai Tudung Dan Kawalan Tentera Saudi

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , , , on November 14, 2011 by maharajazhou

Bidasan Ustaz Fathul Bari terhadap Malaysiakini yang cuba melaga-lagakan Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis dan DS Najib. Dr Juanda seharusnya tidak lagi mengasosiasikan dirinya dengan Malaysiakini. Begitu juga sahabat baik beliau, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin wajar menjauhkan diri dari media namimah tersebut.

Bidasan yang cukup baik, nenek hangpa pakai tudung ka? Hukum tutup aurat tetap terpakai, bukan hanya kepada individu tertentu sahaja tetapi juga kepada kaum keluarga sendiri, kroni separti dan kroni komponen parti.

Protokol berkenaan dengan kawalan tentera Saudi sudah dikupas dengan baik sebelum ini oleh Dr. Haji Abdul Rahman. Ini disokong pula oleh kenyataan Ust. Fathul Bari. Andaikata “tokoh-tokoh” tertentu diberikan layanan sebegitu, apakah pula reaksi mereka? Oo.. pemimpin kami menerima pengiktirafan dari kerajaan Arab Saudi..tokoh kami pemimpin bertaraf dunia..tokoh kami ulama’ ataupun wali.. dan pelbagai lagi. Kenapa ada double standard?

Mufti Perlis Antara Ditakuti dan Digeruni

Posted in Politik Nasional with tags , , , on January 28, 2009 by maharajazhou

Artikel yang ditulis oleh penulis mengenai pengaruh Salafi Wahabi pernah menjadi topik perbincangan di dalam beberapa forum. Segala puji bagi Allah, sekurang-kurangnya perkara ini pernah dibaca dan dipanjangkan. Rumusan yang boleh diberikan oleh penulis ialah fakta yang diberikan adalah benar, namun kerana ia berkesimpulan menyokong pemerintah, maka ia ditolak mentah-mentah oleh penaksub partai siasah ini.

Cuma, dari satu segi, penulis berpuas hati kerana barangkali mereka dapat memuhasabah diri mereka atas sebab utama mereka menjadi ahlul salaf. Pertamanya, sudah tentu kerana ingin mengikut Nabi. Namun, banyak jamaah dan tarekat juga yang mendakwa demikian. Di sini, penulis cuba membawa mereka kepada asas dan punca aliran ini, yakni amalan yang dilakukan mestilah berpunca dari Rasulullah dan tidak ada penambahan dalam agama kerana Nabi itu sendiri punca agama. Maka karutlah, jika ada orang yang ingin menokok tambah seolah-olah mereka mendapat lesen dari Allah untuk mengubah ajaran Rasulullah.

Perkara yang dibawa oleh penulis inilah yang menjadi tema dan intipati kepada Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Penulis secara berterus terang mengatakan fikrah salafinya bukanlah tulen. Salafi tulen tidak memetik pendapat Syed Qutb, atau mempopularkan alirannya sama ada sedar atau pun tidak. Ini kerana aliran Qutubi inilah yang dinamakan oleh penggerak-penggerak salaf di Saudi sebagai Khawarij Moden yang bertindak mengkafirkan pemerintah.

Di pihak saya, saya mendoakan agar Dr. Mohd Asri terpelihara dari tipu daya halus syaitan ini yang boleh mengalihkan fikrah beliau dari manhaj salafussoleh yang sejati. Oleh itu, saya berharap Dr. Mohd Asri seringkali berdiskusi dengan penggerak salaf yang lain seperti Ustaz Rasul Dahri dan juga yang lain agar terpelihara dari fitnah ini.

Namun, impak terbesar diberikan oleh kemunculan Mufti Perlis ini adalah masyarakat sedar akan pentingnya kembali kepada sunnah dan membuang kepentingan diri dalam melakukan amal ibadah terutamanya dalam memperjuangkan Dinul Islam. Kata-katanya pedas terutamanya kepada agamawan. Jika orang PAS level bawahan percaya bahawa perlu ada check and balance dan demokrasi dalam serba serbi hal, maka pendekatan Dr. Asri adalah pendekatan yang betul.

Hakikatnya, masyarakat kita masih lagi berfikir seperti Presiden George Bush. Jika anda tidak bersama saya, anda adalah musuh saya. Maka, seruan ke arah manhaj salaf dipandang dengan pandangan keji, terutamanya apabila beliau bertindak menyerang kaedah kempen al maki wal hamun PAS dan yang seumpama dengannya. Perkara ini ditokok lagi apabila dengan terbuka Dr. Asri menyuruh pembaca agar tidak menentang pemerintah dan bersama dengan mereka selagi mana mereka masih beragama Islam walaupun mereka dari kalangan pendosa dan  ‘asi.

Ini diapikan lagi pula apabila Dr. Asri mengingatkan agamawan (Nota:saya tidak akan menggunakan perkataan ulama’ kepada golongan ini kerana mereka sendiri pun tidak hafal Al Quran dan kitab-kitab hadith) agar tidak menjual agama mereka pada harga yang murah. Saya merasa bimbang jika agamawan yang suka menjadi artis dan Raja Lawak ini akan bertindak seperti golongan Pharisee dan Sanhendrin zaman Nabi Isa, yang akan sanggup menjual agama dan membunuh seruan yang haq hanya kerana hendak mencari makan.

Suka atau tidak, golongan inilah yang paling terjejas dengan dakwah Dr. Asri. Mereka selepas ini tidak dapat berniaga kismis jampi ataupun ubat gula. Saya percaya akan doa, namun, menjual kismis ataupun ubat yang tiada khasiat dengan harga yang tinggi kepada golongan yang ikhlas adalah suatu perbuatan menipu dan mereka telah menjual agama pada harga yang sangat murah.

Benar,ada kata-kata, jika artis boleh dibayar tinggi mengapa agamawan tidak boleh? Namun, tidakkah Allah melalui Kalamnya sudah menjanjikan syurga atas amalan yang ikhlas? Dan apakah “ulamak-ulamak” ini begitu murah menyamakan mereka dengan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang ini untuk mendapatkan habuan duniawi?

Hakikatnya, Mufti Perlis telah membawa anjakan paradigma kepada masyarakat. Cuma sayangnya, adakah masyarakat dapat menerima pendapat ini dengan pemikiran yang objektif. Sayang sekali, jika pendapat yang merevolusikan minda terutamanya golongan yang cintakan Islam ini tertolak kerana tidak bersetuju dengan satu dua pendapatnya yang sebenarnya berdasarkan al Quran dan hadith serta pendapat ulama’ salafussoleh.

Bagi saya, ucapan tahniah dan syabas kepada Dr. Asri. Saudara sekarang ditakuti dan digeruni oleh golongan yang berkepentingan samalah sepertimana gerunnya “ulamak” Bani Israel kepada dakwah Nabi Isa AS.