Archive for UMNO

Perihal Abby Abadi, Ulama’ Pas dan Fathul Bari

Posted in Politik Mahasiswa with tags , , , , on September 6, 2012 by maharajazhou

Sekonyong-konyong ayahanda Subky Latif menulis tentang Abby Abadi dan Fathul Bari. Kononnya ajaib dan  takjubnya bahawa seorang juhala’ seperti Abby boleh memilih PAS dan Fathul Bari seorang ulama’ memilih UMNO. Dikaitkan pula Abby laksana Arab Jahiliyyah, kerana “memilih Islam” masa depannya bakal gemilang, manakala Fathul Bari memilih UMNO maka masa depannya kelam.

Namun, ayahanda Subky mungkin sudah terlupa acapkali dengan pilihan pemimpin PAS. Baru-baru ini orang PAS tidak lagi memilih lebai-lebai sebagai pemimpin tetapi memilih lebai-lebai jadian menjadi pimpinan. Malah, orang yang bercakap pasal Islam dan juga hukum Islam dibuang dari parti yang kononnya memperjuangkan Islam ini.

Tentulah pelik. Sebuah parti yang dahulunya berduyun-duyun lebai-lebai yang menganggotainya, hari ini, berduyun-duyun pula artis yang melompat masuk ke dalamnya. Ulamak-ulamak dari pelbagai aliran mula lari daripada PAS, yang Ikhwanul Muslimin seperti ISMA, yang wahabi seperti iLMU dan pondoknya seperti Abdullah Saamah. Yang sedia ada seperti Nasharuddin Mat Isa pula menunggu hari untuk dibuang. Yang diangkat adalah Bob Lokman dan Hairi Osman. 

Lebih pelik lagi, ayahanda Subky berasa pelik Fathul Bari memilih Najib dan Muhyiddin sebagai pemimpin, tetapi tidak pelik dengan tindakan Hadi Awang dan Nik Aziz memilih Anwar sebagai wali dan  pemimpin tertinggi. Walhal, bukankah semua dalam PAS terutamanya ayahanda sudah tahu dengan siapa si Anwar bergelumang, apakah yang dilakukan dalam kerajaan dan UMNO meruntuhkan PAS.

Ajib lagi, tidak pernah terbit kata taubat dari Anwar tentang  dosanya terhadap parti Islam ini, dan tiada pula berubah lagak hidup si  Anwar untuk mengharuskan PAS mengangkatnya sebagai maula. Begitu malang sekali keputusan parti ayahanda  Subky.

Malang juga, pemimpin PAS bergelumang di pentas-pentas bersama dengan orang-orang seperti Hishamuddin Rais, Ambiga dan manusia-manusia yang beraqidahkan komunis, dan seks bebas.  Sudah pasti imej dan gambaran luaran puak-puak ini tentulah bukan  sebagai orang yang beragama.

Janggal sekali jika mereka dianggap beragama ataupun mempunyai aqidah yang sahih. Seolah-olah,  hajat mereka menginginkan agar di akhirat kelak, mereka bakal dibangkitkan dan berkongsi bilik dan kekal di akhirat bersama golongan itu. 

Semua mereka ini sudah pasti tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup dan sudah tentu menganggap bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Kita tidak hairan jikalau Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam boleh terpedaya menyokong PAS tetapi sahabat-sahabat ayahanda Subky yang terdidik dalam suasana Islami memilih golongan komunis, sosiali, pluralis agama dan seks songsang sebagai teman seperjuangan.

Ajaib, itulah kehendak Allah. PAS dan sahabat-sahabat ayahanda Subky yang pandai menyelak serta  menelaah kitab dan kononnya menyertai perjuangan politik Islam tetapi, bersetongkol dengan  gerakan Lesbian, Gay dan Transexual. 

Itulah kebesaran Allah. Saya tidak hendak menyamakan kejadian sahabat-sahabat ayahanda Subky ini dengan munculnya Dajjal di akhir zaman. Yang rajin membaca kitab adalah orang Yahudi,  dan sepatutnya menjauhi Dajjal itu lojiknya adalah Yahudi dan sebagai keturunan Nabi-nabi merekalah yang patut ke depan menyelamatkan dunia dari fitnah dajjal.

Tetapi, apabila Dajjal muncul, Yahudilah yang menyambutnya semata-mata dengki khianat mereka terhadap bangsa lain yang kononnya tidak tahu membaca kitab.

Itulah kebesaran Allah terhadap mereka yang dengki khianat dan juga sanggup menjual ayat Allah untuk mata dunia yang sedikit.

Pandangan Ulamak UMNO tentang Hudud!

Posted in Politik Nasional with tags , , on October 4, 2011 by maharajazhou

Dengarkan penjelasan Ustaz Fathul Bari tentang Hukum Hudud. Jelas UMNO juga memberi penerangan tentang Hudud!

Ohh…Karpal, Nik Aziz Ahli UMNO Rupanya!

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , , , , on September 26, 2011 by maharajazhou

Kadang-kadang terasa bodoh piang bebenar pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. Jikalau ada masalah, Utusan disalahkan. Jikalau ada masalah,UMNO disalahkan. Sendiri sakit perut, sendirilah berak, dan sendirilah cuci!

Begitulah lawak jenaka terbaru Mustafa. Kononnya menurut Harakah:

“Dakwaan yang mengatakan sebahagian pemimpin terutama dari DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya PAS dengan persetujuan PKR melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan meneruskan agenda penubuhan negara Islam di negara ini, tidak berbangkit.

Sebaliknya, perkara itu sengaja dicetuskan oleh Umno dan akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia untuk mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.” Klik Sini

Hairannya, yang terkini melaporkan adegan cakar-menyakar antara PAS dan DAP,  serta ugut-mengugut untuk keluar dari Pakatan adalah The Star milik MCA. Tenyata, PAS terlalu kecut dengan akhbar milik bukan orang Melayu-Islam. Ataupun, PAS tidak pandai berbahasa Inggeris sehingga “laporan” dan saraf bahasa Inggeris adalah umpama lalat lagau yang hinggap di hidung.(Klik Sini)

Ketua Pemuda DAP tersenyum melihat kepiangan PAS disambut dengan senyum "ikhlas" Saifuddin anak usrah Mat Sabu

Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku?  Siapa yang ucapkan bye-bye kepada DAP dan PAS boleh hidup tanpa DAP seperti yang pernah berlaku dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU)? Siapa pula yang memberi amaran tentang negara Islam dan mengingatkan keputusan muktamar PAS tahun ini?

Rupanya yang bergaduh sakan dalam video ni, ahli UMNO rupanya!

Politik matang memerlukan kebertanggungjawaban. Politik matang perlu mengakui dan mengiktiraf ideologi teras parti. Politik matang juga memerlukan kesanggupan untuk mengakui kesalahan dan kesilapan masing-masing.

PAS tidak selama-selamanya boleh memperbodohkan pengikut hatta pengikut yang sudah berbai’ah dengan momokan UMNO dan Utusan semata-mata.

Panduan Masuk Syurga Untuk Tuan Guru Nik Aziz

Posted in Politik Nasional with tags , , , , on September 21, 2011 by maharajazhou

Pesan imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas

SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Ketua Pengarah DBP, kini pakar rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

BAGAIMANAKAH hendak menyampaikan “mesej” imam kota suci Mekah kepada Mursyidul Am Pas? Demikian satu soalan berlegar dalam kepala sambil saya memandu kereta dalam perjalanan pulang setelah menunaikan solat tarawih di Surau Alhuda, Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada minggu pertama bulan puasa yang lalu.

Pada malam itu, Sheikh Idris Ismail Al-Hafiz, yang menjadi Imam Tamu sepanjang bulan Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur telah berkenan berbuka puasa di Jabatan Pengarang Utusan Melayu dan mengimami solat tarawih di Surau Alhuda. Selepas solat tarawih beliau memberi usrah ringkas diikuti dengan sesi soal jawab.

Semasa sesi soal jawab itulah saya menangkap satu pesanan ringkas (nasihat) Sheikh Idris yang saya rasa sangat bermanfaat untuk diingat dan diamalkan demi perbaikan diri dalam konteks sosial sehari-hari dan demi pengukuhan iman kepada Ilahi.

Saya percaya nasihat yang terkandung dalam usrah Sheikh Idris itu wajar juga dijadikan iktibar untuk perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Dalam konteks itulah saya teringat Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang saya anggap memegang peranan yang sangat genting’ (bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk mewujudkan perpaduan bangsa Melayu yang sekarang berpecah belah.

Inti pati pesanan imam Mekah itu ialah supaya umat Islam mengamalkan “sikap pemaaf” dan membebaskan diri daripada belenggu membalas dendam. Ini sesuai dengan pengajaran orang tua-tua Melayu: “Ambil yang jernih, buang yang keruh.”

Bukan mudah untuk masuk syurga. Masuk PAS tidak bermakna masuk syurga...

Sheikh Idris menceritakan kisah seorang awam di zaman Nabi yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah akan masuk syurga dengan mudah. Kenyataan Rasulullah itu mendorong beberapa orang sahabat untuk berusaha “mencungkil rahsia” (ibadat-ibadat istimewa) orang awam tersebut.

Setelah “mengintai-intai” (mengamati) amalannya sehari-hari yang ternyata tidak ada yang luar biasa, individu berkenaan ditanya apakah amalan-amalan lain yang dilakukannya sehingga Rasulullah berkata bahawa dia akan masuk syurga dengan mudah.

Jawapannya: “Tidak ada amalan yang luar biasa yang saya lakukan. Tetapi barangkali yang agak berlainan daripada kebanyakan orang ialah sebelum tidur di waktu malam, saya mengingatkan diri saya supaya memaafkan siapa sahaja yang bersalah kepada saya walau apa pun kesalahannya.”

Mentafsirkan lebih lanjut kisah “orang awam yang pemaaf” itu, saya tiba-tiba menyedari betapa kita sebagai umat Islam senantiasa beristighfar, memohon ampun dan kemaafan daripada Allah SWT atas segala dosa dan kekhilafan kita.

Tetapi pada masa yang sama ramai dalam kalangan kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain. Sebaliknya kita terus menaruh dendam dan mengungkit-ungkit kesalahan masa lalu yang dilakukan orang lain terhadap kita.

Menyedari hakikat itulah saya cuba bermuhasabah dan mengambil satu resolusi sempena bulan puasa lalu untuk menjadi seorang yang lebih “pemaaf”. Demikianlah sepanjang bulan Ramadan, selain daripada berlapar di siang hari saya dengan bersungguh-sungguh melatih diri menjadi seorang yang “pemaaf” dan “penyabar.”

Kemudian, pada minggu kedua bulan Syawal saya berada di Bandung, Indonesia dan kebetulan sempat membaca satu rencana berjudul “Halalbilhalal, Belajar Saling Memaafkan”, hasil tulisan seorang guru sekolah bernama Suleha, dalam akhbar harian Pikiran Rakyat.

Setelah membaca artikel itu, “azam Ramadan” saya untuk menjadi seorang yang lebih “pemaaf” dan lebih “penyabar” berkat usrah ringkas Sheikh Idris tersebut menjadi lebih teguh. Dan pada masa yang sama hasrat untuk menyampaikan “mesej” Sheikh Idris kepada Tuan Guru Nik Aziz, juga menjadi semakin kuat.

Penulis Suleha memulakan artikelnya dengan memetik pandangan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengatakan: “Amal yang paling disenangi Allah SWT ada tiga. Memberi maaf sewaktu sempat membalas dendam. Berlaku adil sewaktu berada dalam keadaan emosional. Dan menaruh belas kasihan terhadap sesama hamba Allah.”

Dengan itu dapat dirumuskan bahawa usrah ringkas Sheikh Idris di Surau Alhuda itu mempunyai semangat dan kandungan yang sama dengan karangan Suleha. Kedua-duanya menyeru kepada peningkatan ukhuwah dan silaturahim, peningkatan persefahaman dan saling memaafkan.

Alangkah beruntungnya bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia sekiranya seruan tersebut disambut secara positif oleh pimpinan dua parti Islam terbesar di negara ini: UMNO dan Pas.

Perlu diingat bahawa di suatu masa dahulu Pas dan UMNO bekerjasama secara produktif atau bersaing secara sihat untuk kesejahteraan dan kemajuan bangsa Melayu dan umat Islam. Tetapi sejak akhir-akhir ini, antara kedua-dua parti politik ini berlaku pertengkaran yang merugikan bagaikan menang jadi arang, kalah jadi abu.

Menyedari hakikat itulah kita wajib menyampaikan kepada pimpinan kedua parti tentang semangat dan kandungan usrah ringkas Sheikh Idris dan huraian penulis Suleha mengenai semangat bermaaf-maafan itu. Dan secara khusus barangkali seruan perlu ditujukan kepada Nik Aziz supaya melupakan “dendamnya” terhadap UMNO.

UniSEL+TATI=Dr Rosti+Dr Zaki Muin=Masa Depan IPT di Bwh Pakatan Rakyat?

Posted in Politik Mahasiswa, Politik Nasional with tags , , , , , , , on August 4, 2011 by maharajazhou

Dr Rosti Saruwono telah meletakkan jawatan kerana tidak mahu menurunkan jawatan ataupun memecat 3 orang kakitangan Unisel atas sebab ia tidak melalui prosedur dan tatacara yang betul. Buat masa ini, digembar-gemburkan bahawa ada campurtangan politik di belakang kejadian ini.

Di dalam ramadhan yang mulia ini, seharuslah politiking, caci mencaci dan hasut-menghasut dihentikan apatah lagi jikalau membabitkan periuk nasi seseorang. Baru-baru ini, KUIN menyaksikan pelajar-pelajarnya digantung dan seorang timbalan dekan dipaksa berundur dari jawatannya. Namun, campurtangan orang politik (baca ahli politik UMNO dan BN) yang ditentang oleh mahasiswa terutamanya PMI dan GAMIS berlaku pada institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan pembangkang.

Amat sedih bagi idealis, sepatutnya Pakatan Rakyat memberikan teladan yang baik sebagai alternatif kepada kerajaan yang ada. Kerajaan Pakatan Rakyat harus teringat akan hadith Rasulullah SAW bahawa orang Islam tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Adakah Kerajaan PR Selangor bakal tumbang sebagaimana Kerajaan PAS Terengganu kerana memecat Dr Zaki di TATI?

Berikut adalah komen Tun Dr Mahathir pada 31 Disember 2001, 10 tahun yang lepas mengenai insiden tersebut:

“Tetapi bila dia (Kerajaan Pas Terengganu) diberi kuasa, tidak ada belas kasihan langsung dan ada peluang sahaja buang dan cantas orang. Itulah kezaliman Pas. Ambil orang bekerja, kemudian buang sewenang-wenangnya tanpa ada perbicaraan atau surat tunjuk sebab,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara perbarisan Tamat Latihan Rekrut Pengambilan ke-147 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat Port Dickson (Pusasda) di sini hari ini.

Beliau mengulas pemecatan Dr. Mohd. Zaki yang antara lain dikaitkan dengan keengganan Tati memulangkan semula wang yang diterima terus daripada Kementerian Pendidikan kepada kerajaan negeri”

Pemecatan Zaki perlihat kezaliman Pas – Dr. M

Melihatkan hampir sama insiden ini, rakyat dan mahasiswa harus tahu bahawa kerajaan yang ada tidaklah zalim dan kejam serta sangat berkebajikan sifatnya.

Maka, di bulan ramadhan ini, kita berdoa agar negara kita makmur, berdaulat dan mulia serta dimurahkan rezeki kita semua.

Nik Aziz Nakhoda PAS,Tiada Demokrasi dalam PAS

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , , on March 24, 2009 by maharajazhou

Nik Aziz telah menempelak Abdul Hadi Awang tentang gagasan Hadi berkenaan Kerajaan Perpaduan.

Ternyata Nik Aziz tidak senang dengan cadangan dan gesaan Presiden PAS tersebut bagi menubuhkan sebuah kerajaan campuran BN-PAS.

Penulis berpandangan isu ini timbul disebabkan oleh kegagalan PKR-DAP menunjukkan perubahan dari segi dasar mereka terhadap negara Islam dan nampaknya mereka juga kurang iltizam mempertahankan hak-hak orang Islam/Melayu dalam banyak segi.

nikazizhadipeluk2

Nik Aziz peluk Hadi, tapi peluk ada makna.

Keadaan ini diterukkan lagi dengan skandal-skandal yang berlaku di dalam PKR, seperti kes Elizabeth Wong, V. Arumugam dan yang terbaru punca-punca bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1,Mohammad Fairus Khairuddin,meletakkan jawatan.

Kumpulan PAS yang anti-Erdogan dan pro-tarbiyyah PAS tulen, menyaksikan semakin lama semakin teruk kedudukan Islam di bawah Pakatan Rakyat.Namun,puak-puak Erdogan yang diterajui oleh mereka yang pernah ditarbiyyah oleh IRC dan JIM terus mempengaruhi Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat menentang sebarang usaha untuk mendekatkan PAS dengan UMNO.Sudah menjadi tabiat golongan ini untuk berada di bawah perlindungan tokoh-tokoh tertentu dalam PAS.Jika dulu, mereka berlindung di bawah Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Azizan razak (MB Kedah) , sekarang mereka berlindung di bawah Nik Aziz pula.

Alasan mereka adalah UMNO banyak gigit dan mengkhianati PAS.Tetapi, orang Erdogan dan lebih malang sekali, orang PAS yang tulen (dari segi tarbiyyah) pun mengiakan ini.Padahal, Anwar jika kita kamirkan segala perbuatannya seorang dari zamannya sebagai pemimpin ABIM sehinggalah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, jauh beribu kali ganda telah mengkhianati PAS dari apa yang pernah dilakukan oleh semua ahli UMNO secara ajma’in.

Beberapa hari lepas,Mursyidul Am PAS kembali bersuara akan hal yang sama.Jika hendak berbincang tentang kerajaan perpaduan,mari berjumpa dengannya.Ini kerana Mursyidul Am PAS itu adalah nakhoda dan bukan Abdul Hadi.

Pandangan ini sebenarnya mengecewakan ahli bawahan.Ini bermakna pemimpin yang mereka pilih dari cawangan dan negeri tidak ada suara untuk memutuskan perkara-perkara penting dalam parti.Walaupun terdapat Majlis Syura (khabarnya Nik Aziz sendiri sudah lama tidak mempengerusikan Majlis Syura) sebagai “check and balance” dalam PAS, namun, wala’ dan ketaatan kepada pemimpin adalah merupakan esen terpenting dalam PAS.Mursyidul Am fungsinya adalah penasihat dan tidak sepatutnya melangkaui keputusan tersebut.Jadi, bagaimana pula dengan peranan Haron Din, adakah dia juga lebih tinggi dari Abdul Hadi, dan Abdul Hadi perlu wala’ kepadanya walaupun dari segi tarbiyyah,Haron sangat junior dan tidak berpengalaman dari sudut tarbiyyah samada Ikhwan apatah lagi manhaj PAS sendiri.

Sekarang, nyatalah kuasa veto hendak dipakai oleh Nik Aziz dalam hal Kerajaan Perpaduan ini.Malahan, Nik Aziz menggunakan alasan ia telah diputuskan dalam Muktamar parti itu tahun lepas.Bukankah lebih baik jikalau hasrat Abdul Hadi dibawakan ke Majlis Syura.Nampaknya, Nik Aziz telah melangkaui kuasa syura dan cuba membuktikan kuasanya lebih tinggi dari kuasa ahli jamaah yang bersetuju dengan kepimpinan Abdul Hadi.

Kenyataan-kenyataan Nik Aziz membuktikan bahawa suatu kemelut kuasa sedang serius berlaku di dalam PAS.Setelah berjaya meletakkan calonnya sendiri, Abdul Wahid Endut (anak buah Mustafa Ali),inilah cabaran politik terdekat Abdul Hadi iaitu berhadapan dengan kemelut Erdogan yang berpayung di bawah Nik Aziz.Abdul Hadi mempunyai resam penyu,tidak bising tetapi hasilnya, telur beratus-ratus.

Adakah Abdul Hadi akan mengumpulkan anak-anak buahnya terutamanya dari PAS Terengganu untuk menyingkirkan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am dan seterusnya puak Erdogan keseluruhannya?Kita lihat saja pencak silat Hadi seterusnya!

*Nizar telah diumumkan sebagai calon PR kecil Bukit Gantang PAS.Sebelum ini Nik Aziz tidak bersetuju,Nizar sebagai calon. Adakah ini tanda-tanda Hadi tidak akur akan suruhan Nik Aziz lagi?

Siapa Lebih Dahulu Derhaka?PAS atau UMNO?

Posted in Politik Nasional with tags , , , , , , , , , on February 16, 2009 by maharajazhou

PAS sekarang sangat berada dalam keadaan tertekan kerana tindakan mereka menganjurkan demonstrasi di Masjid Ubudiyyah,Kuala Kangsar untuk menghalang Sultan Perak melantik Datuk Zambry Abd Kadir sebagai MB Perak yang baru.Kejahatan PAS melalui lidahnya,Harakah Al Kopijandaily,terlihat melalui penyiaran artikel-artikel dari blog yang anti-Raja seperti Telaah Politik melalui rencananya yang berbunyi Reformasi Kedua di Kuala Kangsar .

Setelah gagal menghalang perkenan Sultan dan rakyat mulai sedar dengan tindak-tanduk biadap parti siasah tersebut,PAS cuba lari dari persoalan isu derhaka.Ini dapat dilihat daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub tentang kononnya PAS sangat beriltizam mempertahankan institusi Raja-raja Melayu.

sultanselangor1

Sultan Selangor murka dengan sikap PAS yang sanggup bertindak biadap kepada Sultan Perak dan kerabatnya.Sikap ini digambarkan oleh baginda sebagai angkuh,biadap,kemaruk kuasa dan jahil ilmu.

Sebelum ini,Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menyampaikan titah dalam nada sindiran yang berbunyi:

“Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita, janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji serta biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa.

Sikap ini tentulah merujuk kepada sikap Nizar Jamaluddin dan PAS yang menolak keputusan Sultan Perak yang juga bekas Hakim Negara dengan tiada asas ilmu yang kukuh dengan cara yang biadap.Ini juga mempertontonkan sikap PAS yang menggenggam kuasa seolah-olah seperti tiada hari esok bagimu.

Baginda Sultan Selangor juga bertitah seperti memberikan amaran kepada raja-raja Melayu yang lain tentang perihal golongan ini:

“Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, barulah kita kenal siapa kaca, siapa permata. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar.”

Maka,terbongkarlah sikap Pakatan Rakyat terhadap institusi Raja-raja Melayu.

Tatkala ini,pihak Pakatan Rakyat telah cuba menyembunyikan bangkai gajah yang telah mereka hasilkan dengan tuduhan siapa lebih derhaka?

Mereka cuba menyedapkan hati masing-masing dengan mengatakan UMNO lebih derhaka.mereka mengatakan UMNO lebih derhaka dengan insiden perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai MB,kekecewaan Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis,Pindaan Perlembagaan tahun 1993 dan juga tahun 1983.Semua itu ditimbulkan semula untuk menunjukkan bahawa UMNOlah yang lebih derhaka.

Untuk menasakhkan hujah mereka ini tidak sukar.pihak yang menentang keputusan istana di negeri-negeri tersebut akur selepas penerimaan watikah oleh MB-MB dari sultan masing-masing.UMNO redha dengan keputusan Raja.Tetapi, PAS dan Nizar terus mengaku MB walaupun Sultan telah melantik MB yang baru.Satu perkara yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana insan Melayu/Islam sebelum ini di Malaysia.

Soalan yang ditimbulkan oleh mereka siapa yang lebih dahulu derhaka?Maka, mereka cuba menakutkan orang UMNO bahawa UMNOlah yang derhaka dahulu dari tahun 1983 dan diakhiri pada tahun 1993.Tetapi, harus diingat bahawa hubungan Raja-raja Melayu dengan UMNO amatlah rapat malah atas faktor ini,PAS tidak mendapat sokongan raja dari dahulu.

PAS perlu ingat komponen yang membina mereka adalah daripada golongan kiri Melayu yang bertanggungjawab menyokong Melayu Raya dan juga anti kepada UMNO serta Raja-raja melayu.Lihatlah sikap Dr Burhanuddin Al Helmy yang merupakan Presiden PAS ketiga terhadap pengenalan Malayan Union pada awalnya.

Dr Burhanuddin menurut Prof.Dr Ramlah Adam dalam bukunya,Burhanuddin Al Helmy: Suatu Kemelut Politik,terbitan Dewan Bahasa Pustaka menyokong penubuhan Malayan Union kerana mahu mewujudkan idea negara Kesatuan dan yang paling penting baginya mengambil kesempatan ketika penyerahan tersebut berlangsung.

Dalam buku yang sama pada mukasurat 71,juga mendedahkan sikap Presiden PAS ketiga tersebut bekerjasama dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) merupakan pertubuhan radikal dibawah pengaruh komunis yang menentang UMNO dan raja-raja Melayu.Kekirian PAS sewaktu kepimpinan Dr. Burhanuddin digambarkan juga melalui sokongan mereka kepada Indonesia Raya.Ketika penubuhan Indonesia, Sukarno telah bertindak menghapuskan hampir semua dinasti Raja-raja Nusantara di Republik itu.

 

640px-umno_malaysia_svg

Warna kuning dan keris merupakan lambang hubungan UMNO dengan Raja-raja Melayu.Puak-puak kiri yang memimpin PAS dan Barisan Sosialis pada tahun 60-an merasa jelik dengan dua perlambangan ini.

Kejelikan PAS terhadap institusi Raja-raja ditonjolkan lagi melalui sebuah artikel di dalam Harakah,tentang pemilihan keris dan warna kuning pada bendera UMNO sebagai:

“Tetapi Umno walaupun memilih juga merah putih mahukan ditampal dengan warna kuning dan keris hijau. Bagi PKMM tampalan kuning dan keris itu melambangkan feudalisme dan reaksioner, berbentuk tradisional; sedangkan mereka mahukan pertubuhan yang progresif.”

Apa maksud UMNO sebagai feudal dan konservatif dan PKMM sebagai pertubuhan progresif?Ini menunjukkan PAS sebenarnya mempuyai perasaan iri dan tidak senang terhadap institusi Raja-raja Melayu.

Oleh itu, jikalau sekarang dibicara siapa yang derhaka terlebih dahulu kepada raja-raja?Pembaca sudah tahu apa jawapannya!

*Penulis mengiktiraf sumbangan Dr. Burhanuddin Al Helmy dalam memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi, sejarah menukilkan juga sikap Dr. Burhanuddin dan rakan-rakannya terhadap institusi Raja-raja melayu dan UMNO.